
Maszlee Malik berkata, kerajaan hanya mampu berbuat demikian berdasarkan usul dikemukakan PTPTN, sebagai permulaan.
“Berdasarkan kewangan kerajaan semasa, kita akan bergerak ke arah tersebut, cuma kita belum mampu untuk melaksanakan.
“Yang mampu kita lakukan buat masa ini iaitu meletakkan RM2,000 sebagai ‘treshold’ untuk permulaan pembayaran hanya dengan RM40,” katanya di lobi Parlimen.
Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan Kabinet dalam mesyuarat Jumaat lalu bersetuju menetapkan potongan gaji pada kadar 2% atau RM40 bagi peminjam PTPTN yang berpendapatan lebih RM2,000 sebulan berbanding RM1,000 yang diumumkan dalam Bajet 2019, awal bulan ini.
Hari ini, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) menyelar keputusan itu tidak cukup baik dan mahu Teo menjelaskan bagaimana cadangan potongan gaji 2% akan meningkat kepada 15%.
Maszlee berkata, kerajaan akan berusaha menunaikan janji pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam berpendapatan RM4,000 dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan, selepas keadaan kewangan kerajaan pulih.
“Tetapi kalau nak bayar lebih pun, itu akan membantu mereka mengurangkan (pinjaman) dengan lebih cepat.”
Mengulas isu lain, Maszlee gembira universiti awam semakin terbuka mengadakan wacana ilmiah, termasuk memanggil aktivis sosial, Hishamuddin Rais dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, langkah itu akan menjadikan universiti awam medan intelektual terbuka dan beliau berharap lebih banyak forum serta pidato membabitkan ahli politik, termasuk daripada parti pembangkang, dapat diadakan tanpa sekatan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pelajar-pelajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) yang telah mengadakan wacana ilmiah.
“Malam semalam, Prof Azmi Sharom telah hadir di UKM dan 2 hari lepas, Hadi buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, julung-julung kali seorang presiden parti pembangkang dibenarkan untuk berpidato di UIA.”