Pasangan anda curang? Awasi 5 tanda ini

Pasangan anda curang? Awasi 5 tanda ini

Sebagai suami atau isteri anda mungkin mencurigai gerak-geri pasangan anda yang tidak seperti selalunya.

Perkahwinan yang bahagia menjamin survival pasangan tersebut pada masa-masa mendatang. Perkahwinan yang berjaya pula membuktikan toleransi sesama pasangan dan ahli keluarga dalam memastikan setiap masalah diselesaikan dan setiap detik berharga disambut.

Apapun, semuanya bermula daripada ikatan perhubungan antara suami isteri yang saling memahami, mempercayai dan terikat dengan janji untuk terus bersama dalam apa jua keadaan, susah dan senang.

Pun begitu, terdapat pelbagai kisah di mana bahtera perkahwinan yang dibina tidak bertahan lama atau terputus tengah jalan atas pelbagai sebab, salah satunya curang iaitu mempunyai hubungan lain.

FMT Ohsem menyenarai beberapa ‘perubahan angin’ yang boleh memberi petanda untuk anda mengenal pasti jika pasangan berlaku curang atau mempunyai hubungan lain.

Tidaklah bermakna 100% benar, namun lebihkan doa dan percayalah pada naluri anda. Hanya anda yang mengenal pasangan anda!

Kurang komunikasi dengan anda

Isteri atau suami enggan berkomunikasi secara mesra seperti sebelumnya. Mereka mungkin lebih suka keluar rumah, kononnya berjumpa dengan rakan, melayari telefon pintar atau langsung tidak mengendahkan anda. Perbuatan ini seolah mahu belajar menyingkir anda dari kehidupan kerana mungkin serik atau sudah ada pengganti lain.

Tiada lagi ‘password’ bersama

Mungkin anda pernah tahu kata laluan emel, Facebook, kad ATM bank, sistem online bank dan banyak lagi, tetapi kini tidak lagi. Jika pasangan anda bertindak mengubah kata laluan kepada yang baharu atau mengunci terus daripada diguna, maknanya ada sesuatu yang tidak baik sedang berlaku dalam hubungan anda. Mungkin orang lain yang berkongsi kata laluan itu!

Cepat marah atau tidak membuka mulut langsung

Ada 2 kebarangkalian, sama ada pasangan anda enggan membuka mulut atau memberi reaksi atau tiba-tiba sahaja terlalu emosional (drama alert!) sehingga tak henti-henti menengking. Walaupun anda melihatnya bahagia, mesra di luar rumah, individu ini mungkin berperangai ‘panas’ di rumah. Awasi gerak pasangan anda.

Panggilan telefon tak dijawab, mesej tak dihirau

Kalau dulu, telefon satu dering terus diangkat, tiada istilah ‘missed call’. Jika rutin ini tiba-tiba berubah, 10 ‘missed call’ masih tidak diendahkan, maknanya pasangan anda sedang melayan panggilan yang lebih penting. Perhatikan juga alasan digunakan si dia untuk menjelaskan perubahan ini. Jika alasannya tak masuk akal dan merepek…jaga-jaga!

Terlalu cool, terlalu palsu

Kadang kala, selepas beberapa episod suram, pasangan anda mungkin cuba bertindak ‘cool’ di luar kebiasaan. Mungkin dia perasan anda sudah menghidu tembelangnya, ada perkara yang dia sendiri terlepas pandang sehingga terperangkap dalam suasana sangsi. Untuk ‘keluar’ darinya, pasangan anda mungkin buat-buat cool, tetapi jelas kelihatan palsu. Ini masanya, perangkap mereka!

Di atas hanyalah beberapa ‘petanda’ yang anda boleh bau, dan terdapat banyak lagi perkara yang boleh dipertimbangan untuk menilai tahap kesetiaan pasangan anda itu.

Dalam situasi sebegini, sebaiknya berbincanglah dengan mereka dan buat keputusan yang adil kepada semua pihak termasuk anak, jika ada.

Usah menengking, menyumpah atau berdrama, banyak pihak yang sanggup menawarkan bantuan kepada keluarga bermasalah. Dekati mereka dan selesaikan secara ‘sihat’.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.