Pusat hiburan di KL beroperasi hingga 1 pagi mulai Januari

Pusat hiburan di KL beroperasi hingga 1 pagi mulai Januari

Setakat ini hanya beberapa pusat hiburan sahaja yang mempunyai lesen dan kebenaran untuk beroperasi sehingga jam 5 pagi berdasarkan beberapa faktor.

Kerajaan hanya beri kebenaran kepada beberapa pusat hiburan beroperasi lebih masa kerana pelanggan yang datang adalah pelancong luar. (Gambar facebook)
KUALA LUMPUR:
Menteri Wilayah Persekutuan hari ini berkata semua pusat hiburan di Kuala Lumpur perlu menamatkan waktu operasi mereka pada jam 1 pagi berkuat kuasa mulai Januari.

Menterinya, Khalid Samad berkata setakat ini hanya beberapa buah pusat hiburan sahaja yang mempunyai lesen dan kebenaran untuk beroperasi sehingga jam 5 pagi berdasarkan beberapa faktor.

“Kita ada banyak pusat hiburan di Kuala Lumpur yang sepatutnya tutup pada jam 1 pagi, tapi mereka tidak mengendahkannya dan teruskan operasi sehingga jam 5 pagi.

“Kita hanya ada beberapa buah sahaja pusat hiburan yang diberikan kebenaran untuk beroperasi lebih masa kerana pelanggan yang datang adalah dari pelancong luar.

“Tapi kebanyakan pusat hiburan yang sepatutnya tutup pada jam 1 pagi ni datang dari orang tempatan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beberapa hari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk memendekkan waktu operasi pusat hiburan.

Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata pihaknya akan mengesyorkan supaya premis hiburan di sekitar ibu kota dibenarkan untuk beroperasi sehingga jam 1 pagi sahaja.

Khalid berkata perkara itu dibuat memandangkan DBKL menerima banyak rungutan daripada orang awam apabila banyak pusat hiburan ini beroperasi lebih masa sehingga menimbulkan suasana yang bising.

Katanya, DBKL akan melaksanakan aturan baru itu dengan tegas dan perbincangan lanjut akan diadakan lagi bersama datuk bandar.

“Dalam masa yang sama kita akan teliti balik pusat hiburan yang diberi kebenaran untuk beroperasi sehingga jam 5 pagi dan kita akan lihat sama ada kebenaran itu masih patut diberikan atau tidak.

“Saya akan bincang dengan datuk bandar, saya percaya dalam Januari tahun depan kita boleh laksanakan, saya akan muktamadkan bersama beliau tentang tarikh sebenar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.