Selepas viral, lelaki tunjuk geram tak kisah aksinya jadi ikutan

Selepas viral, lelaki tunjuk geram tak kisah aksinya jadi ikutan

S Kanagarajah berkata aksi geram itu adalah luahan perasaan sebenar kerana terlalu kecewa dengan situasi tegang yang berlaku pada malam pertama rusuhan kuil.

S Kanagarajah (depan, kanan) bersama beberapa orang wartawan membuat mimik geram seperti mana dalam video viral sebelum ini.
SHAH ALAM:
Lelaki yang menjadi viral dengan aksi geram dalam satu rakaman video susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, hari ini tampil membuat penjelasan.

Lelaki tersebut yang dikenali sebagai S Kanagarajah berkata, aksi geram yang ditunjukkan itu bukan sengaja dibuat, sebaliknya ia perasaan sebenar yang ingin diluahkan kerana terlalu kecewa dengan situasi tegang yang berlaku pada malam pertama rusuhan.

“Saya buat begitu sebab terlalu kecewa dengan keadaan yang berlaku pada masa itu.

“Perasaan saya kalau tanya rasa nak menangis bila lihat apa yang berlaku.

“Saya bukan sengaja buat mimik muka (geram), saya kecewa bila tengok rakan-rakan dipukul di bahagian kepala keluar darah, kita tidak mahu bergaduh dengan sesiapa, kita hanya mahu sembahyang,” katanya yang juga sukarelawan yang sering menyampaikan bantuan di kuil berkenaan.

Jelas ahli perniagaan itu, dia tidak mengambil hati dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang meniru gaya geramnya, sebaliknya melahirkan rasa gembira.

“Sejak video itu viral, saya tidak menerima sebarang ugutan, saya hanya lihat mereka buat lucu dan kalau tengok video itu buatkan mereka gembira, tidak ada masalah biar mereka gembira,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi, Shah Alam hari ini.

Orang Melayu, India jadi mangsa

S Kanagarajah ketika ditemui media di perkarangan Mahkamah Shah Alam hari ini.

Kanagarajah turut menafikan tuduhan kononnya rusuhan yang berlaku di kuil tersebut disebabkan pergaduhan kaum.

Katanya, kumpulan yang datang menyerang kuil diupah pihak tertentu.

“100% saya boleh cakap ini bukan masalah perkauman sebab saya tinggal di Subang Jaya sejak 35 tahun, dari kecil kawan-kawan saya semua Melayu.

“Mereka diupah pihak tertentu, tidak ada orang nak buat benda ini percuma. Bukan kita yang mulakan pertempuran ini, orang yang mulakan pertempuran ini, mereka duduk dalam ‘aircond’, sekarang kita dengan kawan-kawan Melayu yang jadi mangsa,” katanya.

Dia turut mendedahkan pada malam pertama serangan itu, lebih 40 penganut Hindu sedang melakukan upacara sembahyang.

“Mereka bawa senjata yang dahsyat antaranya parang, cangkul, ada dalam 200 orang datang,” katanya sambil menyatakan ucapan terima kasih kepada pihak polis kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan seorang lelaki yang menunjukkan geram dalam sebuah rakaman video tersebar di media sosial bukan anggotanya yang didakwa terbabit dalam rusuhan kuil.

Fuzi berkata, beliau sedia maklum mengenai rakaman video dan gambar lelaki yang didakwa anggota polis itu, tetapi hasil semakan mendapati individu berkenaan ialah bekas Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) yang ditamatkan perkhidmatannya atas faktor lain yang tiada kaitan dengan rusuhan di kuil itu.

Video berdurasi 9 saat itu menunjukkan Kanagarajah sedang mengawal keadaan di kuil sambil menunjukkan perasaan geram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.