Boko Haram guna dron, askar upahan serang tentera

Boko Haram guna dron, askar upahan serang tentera

Kumpulan pengganas itu beralih kepada penggunaan teknologi tinggi, satu trend yang mendatangkan ancaman keselamatan serius kepada negara.

Kumpulan Boko Haram cuba menubuhkan sebuah negara Islam di timur laut Nigeria. (Gambar AFP)
ABUJA:
Kumpulan pengganas, Boko Haram beralih kepada penggunaan teknologi tinggi ketika menyerang pasukan tentera di wilayah timur laut negara itu, lapor agensi berita China memetik kenyataan Tentera Nigeria pada Khamis.

Dalam kenyataan itu, Panglima Tentera Tukur Buratai berkata Boko Haram kini menggunakan dron dan tentera upahan ketika melakukan serangan, satu trend yang mendatangkan ancaman keselamatan serius kepada negara.

“Dalam tempoh 2 hingga 3 bulan lepas, kami melihat beberapa tindakan berani yang dilakukan pengganas dengan peningkatan penggunaan dron terhadap kedudukan pertahanan kami dan penyertaan pejuang asing dalam barisan mereka. Semua ancaman berbahaya ini memerlukan kami untuk terus mengkaji operasi kami,” kata Buratai.

Beliau mengesahkan pengganas Boko Haram menyerang sekurang-kurangnya 5 lokasi tentera antara 2 hingga 18 Nov dan menambah bagaimanapun, semua serangan itu berjaya ditangkis oleh tentera.

Sejak 2009, Boko Haram cuba untuk menubuhkan sebuah negara Islam di timur laut Nigeria, dalam proses itu membunuh berpuluh-puluh ribu orang serta menyebabkan berjuta lagi tersingkir.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan itu menimbulkan ancaman yang serius terhadap keselamatan, kemanusiaan dan tadbir urus di Tasik Chad Basin.

Empat negara yang terjerumus dalam kancah pemberontakan itu ialah Cameroon, Chad, Niger dan Nigeria.

PBB berkata Boko Haram menyebabkan hampir 2.4 juta orang di sub-kawasan Tasik Chad tersingkir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.