ICERD: ‘Go to hell United Nation’, kata Tajuddin

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mendakwa PBB juga mahu menguasai budaya, minda dan politik negara ini.

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini mendakwa kemerdekaan di Malaysia telah dicabuli oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, pencabulan itu dilakukan dengan cara menuntut penerimaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

“Mereka nak kita terima konvensyen ini dengan mereka kenakan syarat bagaimana kita nak hidup dalam negara kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di Dataran Merdeka, hari ini.

Tajuddin mendakwa PBB juga mahu menguasai budaya, minda dan menguasai politik negara ini.

“Mereka nak kuasai hala tuju perjuangan kita orang Islam dan orang Melayu dalam negara kita ini.

‘Go to hell United Nation’. Apa dia tahu perkara di Malaysia ini, mana dia tahu masalah Bumiputera, mana dia tahu masalah pribumi Sabah dan orang Islam,” soalnya.

Himpunan yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan disokong Umno dan PAS itu pada mulanya bermatlamat membantah hasrat kerajaan meratifikasinya.

Ia kemudiannya ditukar kepada “himpunan kesyukuran” susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan hasrat itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan terus mempertahankan perlembagaan Persekutuan yang termaktub di dalamnya kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Himpunan besar-besaran yang mendapat sokongan PAS dan Umno itu turut menyaksikan kehadiran pimpinan tertinggi parti tersebut, termasuk presiden kedua-dua parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan lain.

Turut hadir ialah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah mansor.