
Bagaimanapun katanya, beliau dimaklumkan bahawa SPRM tidak menganggap kereta sebagai suatu aset dan ini menyebabkan ruang pada namanya di laman web pengisytiharan harta oleh SPRM tinggal kosong.
“Saya ingin menjelaskan bahawa pengisytiharan aset saya kepada SPRM sudah dikemukakan pada 10 Okt 2018. Saya memasukkan 2 buah kereta sebagai sebahagian daripada perisytiharan tersebut.
“Pegawai saya meminta penjelasan daripada SPRM kenapa kolum (column) pengisytiharan harta saya dibiarkan kosong dalam senarai menteri yang membuat pengisytiharan harta mereka dan dibuka untuk tatapan umum.
“Saya dimaklumkan bahawa SPRM tidak menganggap kereta sebagai aset, justeru ruang kosong tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Semalam, Waytha berkata, beliau tidak mempunyai harta untuk diisytiharkan kepada SPRM.
Katanya, sepanjang menjadi aktivis sebelum ini, pendapatannya habis dibelanjakan untuk dirinya dan digunakan untuk memperjuangkan nasib masyarakat India miskin.
Semakan di portal SPRM mendapati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, adalah antara 13 Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan harta kepada badan itu.
Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my/), sehingga jam 5 petang semalam, Ahli Parlimen itu yang memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Oktober lalu masih belum mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan dan aset.
Semakan juga mendapati beberapa Ahli Parlimen hanya mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan, tetapi tidak mengisytiharkan jumlah aset yang dimiliki.
Mereka termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (Silam), Waytha dan Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), R Sanisvara Nethaji Rayer (Jelutong), Wong Tack (Bentong), dan Mordi Bimol (Mas Gading).