Belum buat keputusan keluar parti, kata Wanita Umno Sabah

Belum buat keputusan keluar parti, kata Wanita Umno Sabah

Ketua Wanita Umno Sabah Jainab Ahmad Ayid berkata keputusan akan dibuat selepas perbincangan di peringkat bahagian selesai.

Wanita dan Puteri Umno Sabah nafi pemimpin dan ahli masing-masing sudah membuat keputusan meninggalkan parti itu. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Wanita dan Puteri Umno Sabah belum menentukan langkah seterusnya selepas penghijrahan pimpinan kanan parti itu hari ini.

Ketua Wanita Umno Sabah, Jainab Ahmad Ayid dan Ketua Puteri Umno Sabah, Fadiah Sarbi menggesa ahli-ahli supaya bertenang kerana perkara itu sedang dibincangkan.

Ketua Wanita Umno Sabah, Jainab Ahmad Ayid.

“Wanita Sabah belum mengambil keputusan kerana ketua-ketua Wanita bahagian perlu memberi penerangan kepada ahli-ahli jawatankuasa Wanita masing-masing dan seterusnya kepada akar umbi.

“Wanita bahagian akan membuat keputusan setelah selesai mengadakan perbincangan bersama ahli-ahli Wanita Umno dan mendapat maklum balas daripada mereka, dan akan beramai-ramai meletak jawatan jika perlu,” kata Jainab dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan ini menyusuli pengumuman bekas ketua Umno Sabah Hajiji Mohd Noor mengatakan ahli-ahli Wanita dan Puteri dijangka mengikuti langkah 14 pemimpin kanan negeri meninggalkan parti itu.

Sementara itu, Fadilah dalam kenyataan berkata terpulang kepada Puteri bahagian menentukan hala tuju masing-masing.

Terdahulu Hajiji berkata ahli-ahli Umno Sabah tidak dipaksa menyertai kumpulan yang meninggalkan parti itu.

Beliau berkata mereka bebas membuat keputusan masing-masing tetapi berharap mereka akan mengikut langkah itu.

Lima Ahli Parlimen dan 9 Adun meninggalkan Umno Sabah hari ini selepas mengatakan Umno bukan lagi seperti dahulu dan tiada hala tuju jelas daripada kepimpinan parti.

Ahli Parlimen terlibat adalah Ronald Kiandee (Beluran); Yamani Hafez Musa (Sipitang); Azizah Mohd Dun (Beaufort); Zakaria Edris (Libaran) dan Rahim Bakri (Kudat).

Adun terlibat adalah Hajiji Mohd Noor (Sulaman); Masidi Manjun (Karanaan); Japlin Akim (Usukan); Musbah Jameh (Tempasuk); Gulam Haidar Khan (Kawang); Mohd Arifin Arif (Membakut); Isnin Aliasnih (Klias); Matbali Musah (Lumadan) dan Nizam Titingan (Apas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.