NGO Islam: Jangan bisu isu China tindas Uighur demi hubungan dagang

Mohd Azmi Abdul Hamid menggesa Putrajaya memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menyelesaikan isu China didakwa menindas umat Islam Uighur di wilayah Xinjiang. (AFP pic)

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam mendesak Putrajaya tidak membisu terhadap tindakan Beijing yang didakwa menindas umat Islam Uighur di wilayah Xinjiang hanya kerana hubungan perdagangan dengan China.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menggesa Malaysia menyuarakan bantahan atau mesej jelas kepada China melalui saluran diplomatik atau pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Malaysia perlu mengadakan perhubungan khusus untuk menjelaskan kepada kerajaan China bahawa tanggapan negatif mereka terhadap agama, khususnya Islam mesti diperbetulkan, jika China mahu terus mengadakan hubungan dengan negara-negara Islam.

“Malaysia juga perlu mempertahankan hak etnik Uighur di Malaysia sendiri dan tidak tunduk kepada tekanan China, jika jelas mereka tidak melanggar undang-undang di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan membebaskan 11 etnik Uighur yang ditahan di negara ini kerana mereka tidak melanggar sebarang undang-undang di Malaysia.

Mereka ditahan dan didakwa memasuki Malaysia secara haram April lalu, selepas lolos dari penjara di Thailand pada November 2017.

Sebelum ini, China didakwa mencabul hak asasi etnik Uighur di Xinjiang, tetapi Beijing menafikannya.

Antara dakwaan penindasan ke atas Uighur ialah golongan wanita dipaksa membuka hijab, remaja dilarang memasuki masjid, penjawat awam beragama Islam tidak dibenarkan berpuasa dan generasi muda dilarang mendapat pendidikan agama.

Hari ini, Azmi mendakwa hampir sejuta etnik Uighur dipenjarakan China sehingga kini atas alasan mereka menghidap penyakit mental.

“Kerajaan (China) kononnya mendakwa mereka berada di kem latihan, padahal ia adalah sebuah penjara.”

Beliau menggesa Putrajaya memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menyelesaikan isu itu.

“Kami juga menyeru kerajaan Turki dilibatkan dalam proses rundingan sebagai suatu usaha ‘multilateral’ dalam hubungan OIC dan kerajaan China demi menjaga keamanan geopolitik yang lebih terjamin.

“Rundingan ini tidak harus dilihat sebagai campur tangan urusan negara China, tetapi untuk memelihara keamanan rantau serta membina masa depan lebih kondusif untuk dunia lebih damai.”