Si bangsawan Majid minum beer, Mariam berbikini

Terdapat sebuah novel karya pengarang Singapura, Mahmud Ahmad (1906-1976) yang judulnya mengambil sempena nama protagonis berbangsa Cina, “Dr Tan”.

“Dr Tan” terbit pada tahun 1969. Tentu, ia bukan mengenai mendiang Dr Tan Chee Khoon; pemimpin politik kita yang hidupnya sederhana.

Novel “Dr Tan” ini mulai ditulis oleh beliau ketika Singapura menyertai Malaysia pada tahun 1963. Malangnya ia hanya dapat diterbitkan setelah perpisahan Malaysia dan Singapura.

Dr Tan mengisahkan Tan Kim Liong, seorang doktor perubatan yang merupakan anak seorang hartawan dan bersahabat baik dengan Engku Majid bin Engku Khalid.

Tan telah jatuh cinta dengan seorang Serani yang cantik, Maria, tetapi sebetulnya menjerat. Maria dengan bantuan samseng telah meracun ibu bapa Tan.

Pun perbuatannya itu akhirnya ketahuan dan untuk mengelak dari ditangkap, dia kemudian telah membunuh diri. Tan sangat malu dan kesal dengan kebodohan, terpaksa merayu kekasih lamanya, iaitu Mariam adik Engku Majid agar menerimanya kembali.

Novel ini berakhir dengan peleraian yang indah di mana Tan dan Mariam berbulan madu di Eropah, singgah belajar agama sekejap di Al-Azhar dan menunaikan haji.

Saya tidak ingin memanjangkan perihal watak-watak dalam novel “Dr Tan” ini. Namun saya ingin memberi tumpuan hanya kepada watak Engku Majid dan Mariam, lambang Melayu kelas atasan yang konservatif tetapi melakukan dosa peribadi.

Yang mana, mereka – mungkin disilap sangka oleh pembaca hari ini sebagai watak-watak yang liberal.

Bapa Engku Majid, Engku Khalid adalah bekas pengarah atau pegawai paling tinggi dalam syarikat Keretapi Malaysia Berhad. Engku Majid ini merupakan jurutera lulusan Bonn, Jerman Barat dan menginap di Bukit Chagar, Johor Bahru. Beliau diberi gambaran memandu Jaguar dan MG. Seorang lelaki kacak yang merupakan pengumpul barangan antik. Antara barangan milik Engku Majid adalah lukisan hadiah Sultan Abu Bakar kepada bapanya.
Majid meskipun bujang masih memerlukan pelayan atau asam berbangsa Cina yang akan berlari datang jika dipanggil. Minuman kegemaran Engku Majid, seorang bangsawan adalah “beer ditaruh beberapa ketul air batu”.

Pada malam Jumaat (Johor cuti Jumaat, jangan lupa), Engku Majid menonton wayang di Capitol (menonton Goldfinger), Singapura atau makan malam di West Point. Beliau bercuti antara lain di Port Dickson, Melaka, dan Pulau Ubin.

Di Malaysia, beliau rela jika ada orang membahasakan diri sebagai “patik” atau “hamba” dan menggelarnya tuan atau tuanku. Akan tetapi sebaik menjejak kaki di Singapura, beliau melarang sesiapa pun, khusus orang-orang gaji Tan agar jangan menggunakan bahasa “patik-engku” dengannya.

Ini kerana, menurut Engku Majid, “Singapura adalah negeri sosialis yang semua rakyat sama taraf dan sama hak.”

Kesetaraan itu bagaimanapun tertinggal di seberang tambak kalau Majid pulang ke Segamat, tempat bapanya bersara.

Maria, isteri Tan, pernah menyelar persahabatan Cina tersebut dengan golongan feudal Melayu (Engku Majid), tetapi Tan hanya menyangkal dengan kata-kata” dia feudal keturunan tapi tidak feudal jiwa”. Lebih kurang “meski pun feudal tetapi berjiwa rakyat”.

Engku Majid mempunyai satu pegangan agar jangan berbuat jahat di negeri sendiri, tetapi kalau di negeri orang tak mengapa. Sebagai contoh apabila disorak oleh Tan mengapa tidak minum beer di tempat terbuka, Engku Majid memberi alasan jangan sampai dilihat orang, khusus ibu-bapanya.

“Ah, engkau Tan! Petang-petang bagini maseh juga nak minum beer.”

“Kalau tidak mari kita ka-resthouse, kita minum di-sana,” kata Dr Tan menchabar Engku Majid.

“Aku malu minum di-sana, nanti ada yang mereportkan kapada emak.”

“Engkau takut?” tanya Dr Tan.

“Bukan takut, Tan, tapi kita mesti memelihara hatinya supaya dia sentiasa senang dan tidak merasa malu kerana kita. Di-negeri orang kita lepas bebas, macham anjing pemburu di-padang rusa. sekarang kita di-negeri kita, pandai-pandailah membawa diri.”
“Kalau begitu kita minum di-rumah saja-lah. Asam! Bawa-lah beer lekas, aku dah haus.”

Seperti yang telah diperikan dalam perenggan dari novel “Dr Tan” di atas, pilihan Majid untuk tidak minum di hadapan ibu-bapa itu bukanlah menunjukkan budi-bahasa beliau. Sebaliknya menunjukkan kesedaran untuk menyembunyikan dosa peribadi. Supaya ia tidak terlihat di mata awam. Jika di Singapura atau di luar negara, tidak mengapa. Tetapi jika di Johor Bahru ia jangan dilakukan terang-terang.

Berdasarkan penjelasan saya di atas, timbul tanda tanya, apakah Majid seorang Melayu liberal? Tambahan pula beliau datang dari lingkungan feudal yang tentu “sekular”.

Jawabnya sama sekali tidak. Sebagai golongan bangsawan Melayu dalam tahun 1969, beliau akur keperluan untuk menguasai kebudayaan dan sejarah Melayu. Apabila bersiar-siar di Melaka, Engku Majid gemar menghimbau kegemilangan Melaka pada zaman silam, dengan kisah-kisah Hang Tuah dan teman-temannya lantas berasa terkilan Melaka dijajah Portugis.

Apabila ke Kuala Lumpur, Majid, ibu dan adiknya memilih untuk melawat Masjid Negara yang baru siap dengan nilai RM10 juta.

Majid juga bukan calang bila berhujah mengenai agama Islam saat perlu. Kepada Mariam adiknya, bangsawan Melayu ini menunjukkan kebolehan berhujah mengenai sejarah Islam:

“Kata engkau itu memang benar, Yam!” jawab Engku Majid, “Kalau kita bacha sejarah, kejatohan negara Islam ialah kerana bergadoh sama sendiri. Sa-telah wafat sahabat yang empat, perpechahan itu makin mendalam. Akhir-nya negeri yang penting jadi terbagi seperti sekarang ini. Chuma satu saja untongnya masing-masing negeri itu maseh negeri Islam, kechuali Spain yang sekarang ini jadi negeri Christian.”

Lihat, petah bukan Engku Majid berhujah dan berkata-kata?
Mariam adiknya Engku Majid, adalah seorang juru rawat terlatih lulusan Australia. Beliau bertugas di Rumah Sakit Umum Melaka, dan kemudian di Johor Bahru, sebelum berhenti kerja untuk mengahwini Tan.

Mariam digambarkan gadis kelasan yang ranggi sekali. Pakaiannya ke parti memang penuh gaya.

Pada satu bab, Mariam ditulis “memakai kain batek dan kebaya pendek”, “bergincu”, “terlengkar kalong warna biru” dan “telinga-nya juga di-hiasi subang biru”.

Ketika cuti Tahun Baharu Cina, Engku Majid, ibunya dan Mariam bercuti di Pulau Ubin dan tinggal di banglo milik Tuan Filma. Seperti mana tatkala berkelah di Port Dickson, Mariam yang besar dalam golongan bangsawan tanpa segan silu mengenakan baju mandi:
Ayer mulai dalam. Mariam dan emak-nya mandi laut.

“Emak ta’ pakai baju mandi?”
“Malu aku Yam.”
“Malu dengan siapa mak?”
“Itu banyak budak-budak jantan.”
“Susah mak mandi serembah-serembeh.”

Di saat cinta antara Mariam dan Tan bertaut kembali, Mariam tidak juga teragak-agak memeluk Tan erat-erat:

“Dr Tan menangis seperti budak kechil. Di-dakap dan di-peloknya Mariam erat-erat. Dia telah hilang malu, sa-olah-olah ta’ sedarkan diri kerana kesukaan.”

Hari ini di kedai runcit, kalau duit baki siling dipulangkan, juru wang perempuan akan berhati-hati memberikan siling berkenaan agar jangan tersentuh telapak tangan pelanggan lelaki. Hukumnya haram.

Mariam tidak peduli.

Kemesraan Tan dan Mariam segera menjadi buah mulut dalam kalangan kelas atasan. Siapa bilang kelas atas T20 tidak “membawang” seperti kaum B40?

Menurut Mahmud, pengarang novel “Dr Tan”, hal ini bukanlah aneh di Malaysia pada waktu itu (tahun 1963-1969). Ini kerana status yang mereka miliki melindungkan dosa peribadi mereka dari pengetahuan masyarakat:

“…kalau orang atasan atau orang terpelajar membuat sesuatu yang ta’ enak di-pandang mata tiadalah lantang suara chachian mereka, tetapi kalau di-jembel yang melakukan-nya, maka heboh-lah mulut mereka – itu ta’ kena, ini ta’ betul, perjalanannya di-intip, gerak-gerinya di-perhatikan, bahkan di-tulis dalam surat-khabar.
“Lebeh jahat lagi dia difitnahkan, di-adukan kapada pegawai penchegah ma’siat!”

Mariam dan Tan kemudian berkahwin, dan di sebalik mempertahankan gaya hidup yang kelasan itu, beliau terlihat sebagai wanita muslimah.

Pada musim haji, Mariam dan suami menunaikan haji, malah kedua-duanya menderma kepada pelajar-pelajar Malaysia di Kaherah yang sedang belajar di Al-Azhar wang sebanyak RM50 ribu. Itu adalah derma untuk perbelanjaan asrama dan pembelian buku. Alhamdulillah.

Karektor Melayu feudal dan bangsawan kaya-raya yang di hadapan umum berbuat super baik dan ultra budiman serta tampak langit Islami, tetapi, dalam masa yang sama melalukan dosa peribadi ini bukanlah pelukisan watak golongan liberal.

Tidak, liberal bukan begini. Ini bukan liberal ya. Maksud liberal lain. Kesempatan lain saya terangkan pula.

Novel “Dr Tan” memahamkan kita terdapatnya kaum feudal yang konservatif serba-serbi, mempertahankan nasionalisme (bukan patriotisme), menonjolkan kecintaan kepada Melayu dan Islam tetapi di belakang pintu mereka berparti, bercerut, berdansa, dan berbrandi.

Perempuan mereka berbikini di pantai khas, atau pulau yang terasing tanpa pengetahuan umum.

Hanya dosa yang mereka lakukan tidak dihitung pejabat agama. Hanya amalan mulia mereka sahaja yang dikira. Kemungkaran mereka “terampunkan”.

Untungnya – kerana mereka itu dari rahim bangsawan – ia kekal menjadi dosa peribadi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.