Kek Indomie, kek pulut kuning makanan inovasi majlis keraian

Kek Indomie, kek pulut kuning makanan inovasi majlis keraian

Kek Indomie viral di laman sosial menerima pelbagai reaksi positif selain idea-idea bagaimana untuk mempelbagaikan lagi citarasa dan hiasannya.

Setibanya hari kebesaran seperti hari ulang tahun kelahiran, perkahwinan atau menyambut kejayaan, kek menjadi antara bahan makanan wajib menandakan keraian tersebut.

Namun kini, kek komersial bukanlah satu-satunya pilihan yang ada, sebaliknya kita mempunyai idea-idea kulinari yang jauh lebih kreatif apabila merevolusikan makanan tradisional sebagai ‘kek’.

Terbaru, di Indonesia seorang chef kek melakar nama apabila usahanya membuat kek kahwin menggunakan mi segera, Indomie menjadi buah mulut netizen.

Kek tersebut dibuat oleh Tot.aw, sebuah restoran di Kelapa Gading, Indonesia dengan harapan memberi kelainan kepada pasangan berkahwin, membekalkan kek bukan manis tetapi berperasa.

“Kek hari jadi biasanya manis, kami buat yang savory, yang berperasa. Idea untuk kek ini sudah lama tercetus, tetapi direalisasikan dengan pembukaan restoran TOT AW ini,” kata pemilik TOT AW, William Sudhana kepada akhbar tempatan.

Kek Indomie itu viral di laman sosial menerima pelbagai reaksi positif selain idea-idea bagaimana untuk mempelbagaikan lagi citarasa dan hiasannya.

Bagi kek Indomie yang viral itu, hiasan yang dikenakan terdiri daripada keju dan daging salai yang dibakar dengan api manakala mi itu sendiri dimasak dengan hirisan daging ayam, sotong dan bebola daging.

Itu di Indonesia, di Malaysia pula tidak kurang hebatnya. Banyak makanan sudah lama dijadikan kek dan hasilnya semakin kreatif dan cukup berinovasi. Mari kita jenis lihat kek ‘Malaysia’ yang lazim dipamerkan di majlis selain kek kontemporari yang umum.

1. Kek Pulut kuning

Gambar Facebook

Ini adalah pilihan yang palin popular apatah lagi di majlis Melayu seperti perkahwinan, majlis kesyukuran dan majlis keraian rasmi yang lain. Pulut kuning dimasak dan dipadatkan dalam dulang mengikut bentuk, sama seperti kek dan dipersembah dengan hiasan yang dipadankan dengan makanan itu seperti serunding, rendang atau daging.
Menjadi sajian istimewa orang Melayu, warna kuning hasil masakan menggunakan serbuk kunyit sebagai pewarna dikekalkan sekaligus memberi rona yang gah kepada makanan itu.

2. Kek Nasi lemak

Gambar Facebook

Rupanya nasi lemak juga boleh dijadikan kek! Itulah kreativiti dan kekayaan kulinari orang Malaysia. Bagi mereka yang menggemari makanan Malaysia, nasi lemak pasti tidak akan terlepas daripada pilihan. Selain menjadi makanan sarapan pagi, atau pada bila-bila masa, kini ia diubah menjadi kek. Nasi putih bersantan menjadi asas, dihiasi cantik dengan sambil merah, telur, ikan bilis dan kacang mengikut aturan yang cantik dan seimbang. Setiap potongan pasti akan lengkap dan sempurna. Malah ia dikembangkan lagi dengan sambal udang dan petai, rendang ayam dan lain-lain.

3. Kek Kesari

Gambar Facebook

Mungkin ramai yang tidak mengenali manisan India ini. Kesari adalah antara manisan yang sering digunakan dalam majlis keraian, ketika sembahyang atau untuk dimakan bersama teh atau kopi. Secara tradisionalnya, ia dipotong dalam bahagian kecil dan dihidang tetapi kini kesari juga dibentukkan seperti kek dengan dihiasi kacang gajus dan buah kismis di atasnya. Kesari juga berwarna kuning namun kini diperkenalkan dalam pelbagai warna mengikut kesesuaian dan pilihan. Kalau ke restoran makanan India, anda pasti akan jumpa manisan yang diperbuat daripada tepung suji ini.

4. Kek agar-agar atau puding

Gambar Facebook

Siapa yang tak suka agar-agar? Ia menjadi snek yang ‘direstui’ ibu bapa semasa kecil kerana bersifat sejuk dan mudah disediakan. Namun, kini agar-agar juga melalui satu anjakan, di mana disediakan dalam pelbagai perisa, warna, bentuk dan lebih menarik digabung dengan teknik yang pelbagai untuk efek menawan. Maka sesuailah apabila agar-agar juga dijadikan kek yang sangat elegan dan unik mengikut permintaan atau tema majlis.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.