
“Apabila berpeluang menempatkan diri di Kompleks Kraf Johor, saya dapati ramai pelancong luar tercari-cari cenderahati ringkas dan mudah untuk di bawa pulang ke negara mereka. Daripada situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan hiasan bermagnet, hiasan dinding dan juga penanda buku.
“Semua produk ini bertemakan pakaian tradisional Melayu seperti baju Melayu dan kebaya,” kata usahawan kraf Elmi Samanhudi, 32, dalam temu bual dengan Bernama.
Beliau ditemui sewaktu aktiviti simulasi Reka-Reka Kraf Rakyat yang merupakan program pra-PASAREKA 2018 di Kompleks Kraf Johor.
Aktiviti sehari anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) itu memberi peluang kepada agensi pelancongan, perhotelan, agensi kerajaan dan swasta serta media untuk mencuba bakat dalam menghasilkan produk kraf.
Setanding luar negara
Bercerita lanjut Elmi yang mula serius dalam bidang kraf sejak 2016 berkata, pemilihan tema tradisional bagi produk rekaannya adalah kerana yakin seni dan tradisi negara ini juga setanding negara luar namun perlu lebih giat dipromosi dan diberi pendedahan.
Mengangkat identiti dan budaya Malaysia melalui kraf yang dijadikan cenderamata secara langsung turut memberitahu masyarakat luar bahawa kita mempunyai seni, budaya dan tradisi yang bukan sahaja cantik, unik malahan boleh dibanggakan.
“Mengapa tidak ketengahkan sesuatu yang memang menjadi identiti kita? Pakaian tradisional seperti Baju Melayu, kurung dan kebaya dengan perhiasan lengkap seperti tanjak dan cucuk sanggul goyang contohnya, amatlah cantik. Ramai yang terlepas pandang betapa cantik, unik dan terperinci hiasan kepala untuk wanita sebenarnya.
“Kita ada banyak pakaian dan aksesori, jadi kita perlu tonjolkan produk kita pun hebat! Kita ada pelbagai nama rekaan pakaian tradisional mengikut negeri serta jenis jahitan seperti cekak musang atau teluk belanga dan cekak sejari yang melambangkan pakaian tradisional Johor. Banyak sebenarnya yang boleh ‘diceritakan’ kepada orang luar malah mungkin kepada rakyat kita sendiri,” ujarnya.
Menggunakan jenama Vinca Label, anak ketiga daripada 6 beradik itu turut menambah beliau pernah menghasilkan hiasan magnet yang bertemakan gaya pemakaian hijab wanita negara ini. Tanpa diduga, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong terutamanya dari Taiwan dan Jepun.
“Mungkin mereka lihat wanita negara ini mengenakan hijab dengan pelbagai gaya, justeru hiasan magnet itu dirasakan sesuai untuk dijadikan ‘ole-ole’ dari Malaysia,” katanya yang turut menghasilkan hiasan magnet bertemakan wau dan lain-lain simbolik negara ini.
Tambah nilai produk kraf
Berpendapat produk kraf tidak boleh bersifat statik dan memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa, Elmi berkata pengusaha dan usahawan kraf seperti beliau perlu berani mempelbagaikan fungsi serta rekaan mereka bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan.
Justeru katanya, kraf ‘fabric paper doll’ diilhamkan untuk program interaktif atau aktiviti bersama yang melibatkan hubungan dua hala antara pengajar dan peserta.
Ia juga boleh dimasukkan dalam subjek tertentu di sekolah atau aktiviti yang melibatkan program pelancongan serta untuk kaum wanita atau ibu yang mahu menjana pendapatan sampingan.
“Sebelum ini saya hanya membuat dan menjual produk kraf. Dengan terilhamnya produk bersifat interaktif ini, ia memberi kepuasan berganda apabila saya berpeluang mengajar dan mendedahkannya kepada masyarakat,” katanya yang turut menyediakan peralatan seperti gam, gunting, pisau dan pita pelekat untuk menghasilkan ‘fabric paper doll’.
Bekalan kain perca diperoleh daripada rakan-rakan selain sebahagiannya turut dibeli bagi tujuan suai padan antara corak baju, kain, seluar, selendang mahupun sampin.
“Penggunaan kain perca bukan sahaja boleh menjimatkan kos bahkan menggalakkan kitar semula lebihan kain yang tidak digunakan. Bahan lain yang diperlukan adalah ‘kit’ yang telah disediakan yang merangkumi bentuk badan, kaki, tangan, kepala dan sanggul.
“Kain perca akan dipasang (digam) pada kit yang telah digunting mengikut bentuk. Bagi aksesori kepala, terdapat beberapa jenis cucuk sanggul yang boleh digayakan bergantung kepada kreativiti si pembuat,” jelasnya sambil menambah batang lidi dan kayu aiskrim serta kertas tebal turut digunakan bagi tujuan menghias kraf berkenaan apabila siap.
Elmi pada masa sama turut berkongsi perancangannya untuk menghasilkan kit ‘fabric paper doll’ yang lebih lengkap beserta garis panduan pembuatannya yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja di samping bercadang memperluaskan tema rekaan kepada pakaian tradisional kaum lain di Malaysia.
Peranan kraftangan
Mengenai penglibatan anak muda dalam industri kraf, beliau berkata golongan itu perlu merebut peluang dengan meningkatkan kemahiran serta bakat lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai platform yang disediakan hari ini.
Turut menyifatkan industri berkenaan luas untuk diteroka dan boleh menjadi sumber pendapatan jika dimanfaatkan sebaiknya, beliau berkata seseorang itu perlu menghasilkan sesuatu yang memberi makna kepada masyarakat dan negara kerana ia pasti akan memberi pulangan baik kepada mereka.
Kraftangan Malaysia juga banyak membantu dalam mengembangkan kerjaya pengusaha dan usahawan kraf terutama dalam aspek meluaskan jaringan rakan niaga, potensi pelanggan serta ruang untuk percambahan idea dengan menghimpunkan ahli-ahli kraf yang boleh dijadikan rujukan.
“Peluang menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan kraf turut mendedahkan saya kepada ilmu berkaitan industri agar terus menjadi kreatif dan inovatif dalam menghasilkan sesuatu produk… Ini termasuklah ‘fabric paper doll’ ini,” kata Elmi.