
Setiausaha Agung Loretto Padua Jr berkata Warisan dan PPBM mempunyai hubungan yang baik dan beliau difahamkan parti yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak akan memungkiri janji tidak akan memasuki Sabah.
“Sebelum ini, Warisan menderita apabila pihak lawan menuduh kami proksi PPBM di Sabah.
“Ia menjadi liabiti pada kewibawaan kami sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hak Sabah,” katanya.
Mengulas kebarangkalian hala tuju bekas wakil-wakil rakyat Umno Sabah, Padua berkata mereka dijangka menyertai PPBM.
“Tiada siapa pun boleh halang mereka sertai PPBM. Itu hak perlembagaan mereka. Bagaimanapun, itu tidak bermakna PPBM akan melebarkan sayap ke Sabah.
“Warisan juga mempunyai ahli di luar Sabah tetapi itu tidak bermakna kami akan buka cawangan di Johor, misalnya.”
Dalam pada itu, beliau percaya PPBM akan terus berpegang pada janjinya kepada Warisan.
Bekas parti komponen Gabungan Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), diketuai bekas timbalan ketua menteri Datuk Seri Lajim Ukin, dikatakan aktif menaja kemasukan PPBM ke Sabah.
PHRS dijangka mengadakan mesyuarat agung tahunan minggu ini dan dijnagka mengadakan satu sidang media esok yang akan dihadiri seorang pemimpin kanan PPBM serta beberapa pegawai dari Pejabat Perdana Menteri.
Topik kemasukan PPBM ke Sabah menjadi perbualan dengan beberapa pihak melihatkan sebagai sebuah lagi Umno manakala beberapa lagi mencemuh Warisan kerana mempercayai janji Dr Mahathir.
Pengguna media sosial mengimbau kembali janji Dr Mahathir pada 1985 apabila dia berjanji akan terus menyokong Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) sehinggalah kemunculan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Barisan Nasional.
“Apa lagi janji itu, yang dibuat secara peribadi tanpa bertulis?” soal mereka.
PPBM ketika ini mempunyai cawangan di semua negeri di Semenanjung dan baru sahaja membuka cawangan di Sabah. Ia satu-satunya parti nasional yang belum memasuki Sabah.