
Ia susulan pertuduhan jenayah di bawah undang-undang sekuriti negara yang difailkan terhadap Jho Low berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung syarikat pelaburan negara itu.
Bercakap melalui peguamnya, jurucakap Jho Low itu mengulangi beliau tidak akan mengemukakan kepada mana-mana bidang kuasa di mana kesalahannya ditentukan oleh politik dan tidak ada proses undang-undang yang bebas.
“Adalah jelas Low tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di Malaysia, di mana rejim itu membuktikan berkali-kali bahawa mereka tidak berminat dalam kedaulatan undang-undang,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini dilaporkan Malaysia memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs dan 2 bekas pekerja Bank Amerika Syarikat (AS) berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Goldman Sachs disiasat atas peranan membantu mengumpul dana melalui tawaran bon bagi 1MDB yang menjadi tumpuan siasatan sekurang-kurangnya 6 negara.
“Pertuduhan-pertuduhan berbangkit daripada perlakuan dan persubahatan dalam hal membuat pernyataan-pernyataan palsu atau mengelirukan oleh semua tertuduh bagi menggelapkan AS$2.7 bilion daripada hasil 3 bon dikeluarkan anak syarikat 1MDB, yang diatur dan ditaja jamin Goldman Sachs,” katanya dalam kenyataan hari ini.