
“Ya, Adib dan kakak saya patut bernikah Jumaat ini dan bersanding di belah perempuan pada keesokan harinya (22 Disember),” kata Najmi Radzi yang merupakan adik kepada Najihah ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut mengenai perancangan perkahwinan Adib dan kakaknya kerana dalam perjalanan dari Langkawi ke Kedah untuk melawat jenazah Adib yang akan dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.
Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke tempat kejadian, susulan protes penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 yang menyaksikan perusuh membakar beberapa kenderaan.
Anggota bomba berusia 24 tahun itu cedera parah selepas ditarik keluar dari kenderaan EMRS dan diserang sekumpulan perusuh di depan kuil.
Beliau meninggal dunia 9.41 malam tadi, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.
Nurul, tunang Adib, meluahkan kesedihannya menerusi posting di laman sosial miliknya.
“Al-Fatihah Kudip. Esok kita sama-sama cuti untuk balik kampung bagi perkahwinan kita. Ya abang, kita balik. Kita balik sama-sama.
“Esok 18/12/2018 (hari ini) hari kita balik ‘drive’. Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku,” tulisnya di Instagram.