
Pasti pembaca tidak dapat melupakan insiden 12 remaja yang juga pemain bola sepak dan pelatihnya yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang di Chiang Rai selama lebih 2 minggu pada Julai lepas.
Mereka terperangkap di dalam gua itu kerana pintu masuk gua tertutup akibat banjir sehingga ia menyukarkan usaha membebaskan mereka.
Kini, Gua Tham Luang menjadi lokasi panas apabila didatangi pengunjung yang datang menunjukkan penghormatan kepada penyelamat, khususnya Penyelam dari Angkatan Laut Thailand, Saman Gunan yang terkorban ketika melakukan penyelamatan.
Gua yang terletak di hutan taman, Tham Luang-Khun Nam Nang dibuka semula pada 16 November, meskipun pengunjung tidak diizin masuk ke dalam gua secara sendirian.
Menurut laporan Lonely Planet, lebih 100 gerai yang menjual makanan dan minuman serta cenderahati dibuka di sepanjang jalan menuju gua, sekaligus meletakkan ia pusat tumpuan pelancong.
Malah, pengunjung yang datang turut membawa bunga dan meletakkannya di pintu masuk gua, sebagai tanda bersyukur di atas usaha penyelamatan.
Kesemua remaja yang terperangkap dalam gua, ahli pasukan Wild Boars rata-rata berusia 11 hingga 16 tahun bersama pelatihnya yang berusia 25 tahun berteduh dari hujan di dalam gua.
Akibat hujan dan banjir, mereka terpaksa masuk lebih dalam dan akhirnya terperangkap ekoran aliran sepanjang jalan keluar dinaiki air.
Tambah laporan itu, kini gua tersebut sedang dibangunkan sebagai muzium untuk memperingati Saman sekaligus usaha penyelamatan yang dilakukan dan lokasi perkhemahan.
Penduduk setempat juga tidak melepaskan peluang untuk menyemarakan lagi kawasan sekitar gua yang selama ini sepi tanpa pengunjung.