Kematian anggota bomba Adib diklasifikasi kes bunuh

Kematian anggota bomba Adib diklasifikasi kes bunuh

Polis berkata, kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat menemani bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid (baju putih) di IJN, malam tadi.
KUALA LUMPUR:
Kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kini disiasat dan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab.

Beliau dalam kenyataan malam tadi berkata, kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, tetapi kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Adib, 24, yang cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam Isnin.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika menyertai operasi memadam kebakaran di depan kuil itu.

Adib pada asalnya dirawat di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, sebelum dipindahkan ke IJN pada hari sama.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan takziah kepada keluarga Adib.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian beliau. Al-Fatihah,” tulisnya dalam Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.