Kaedah baru bayar pinjaman PTPTN lebih menyeluruh, kata Wan Saiful

Kaedah baru bayar pinjaman PTPTN lebih menyeluruh, kata Wan Saiful

Perbadanan itu akan pastikan ia sesuai untuk semua golongan peminjam

(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kaedah baru pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bakal diperkenalkan, bersifat lebih menyeluruh, kata Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata kajian mengenai mekanisme baharu itu sedang dalam penelitian pihaknya bagi memastikan kaedah tersebut sesuai untuk semua golongan peminjam.

“Golongan kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) sentiasa menjadi keutamaan PTPTN dan ini termasuklah golongan yang agak tegar membayar. Kaedah baru itu akan bersifat menyeluruh.

“Bilangan peminjam tegar adalah sedikit dan kita akan pastikan mereka membayarnya. Bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk saya umumkan kaedah itu kerana kita masih melaksanakan kajian terperinci,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘KITA Bantu – Jom Ke Sekolah’ di Dewan Serbaguna Taman Tasik Ampang Hilir, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kami Insan Tanah Air (KITA) Mohd Danial Abdul Rahman.

Pada 7 Dis lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan penangguhan pelaksanaan kaedah baru bayaran balik PTPTN secara Potongan Gaji Berjadual yang dijadualkan bermula bulan depan.

PTPTN memerlukan 6 hingga 12 bulan bagi mengkaji semula pelaksanaan formula baru bayaran balik pinjaman pendidikan.

Mengenai program tersebut, Wan Saiful berkata ia dianjurkan KITA dengan kerjasama PTPTN, bertujuan membantu kanak-kanak golongan asnaf.

“Seramai 200 kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun menerima sumbangan berbentuk tabung simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM1,000 seorang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.