Ingat lagi sitkom Spanar Jaya yang ditayangkan bermula 8 Mac 1999 dibintangi beberapa pelakon terkenal antaranya, Ahmad Idham,Wardina Safiyyah , Zaibo, Opie Zami, Radhi Khalid dan ramai lagi.

Siri komedi terbitan 10 on 10 Picture yang disiarkan di saluran Ntv7 selama 6 tahun itu dikhabarkan akan kembali menemui penonton semula tidak lama lagi.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak, perkara itu dikongsi pelakon Uqasha Senrose menerusi laman sosial Instagram miliknya beberapa jam lepas.
Spanar Jaya is back guys! Can’t wait.,” tulisnya memuat naik rakaman lama drama komedi tersebut.
Perkongsian itu terus menerima sokongan peminat yang akui tidak sabar untuk menonton kembali drama yang disifatkan ceria dan berkisar kisah kekeluargaan pernah ditayangkan pada 1999 hingga 2005.
Walaupun ramai pelakon utama sudah tiada, meninggalkan dunia lakonan ia dijangka digantikan dengan pelakon muda sekaligus mengembalikan ‘kehebatan’ drama tersebut.
Mengimbas sitkom-sitkom tahun 90an yang popular, tidak salah juga jika ia dibikin semula dengan mengekalkan konteks asalnya.
FMT Ohsem menghimpunkan 5 sitkom yang pernah menjadi rancangan tv pilihan rakyat Malaysia suatu masa dahulu.
Mana tahu, kalau nak disiarkan semula atau diperbaharui pembikinannya…

1) Jangan Ketawa
Siri komedi yang disiarkan pada awal 1990-an yang diterbitkan oleh Filem Karya Nusa dan disiarkan di TV3 pada tahun 1991. Ia diarahkan oleh Linda Chong dan Harith Iskander. Sitkom ini pernah disiarkan semula di Astro Prima dari tahun 2003 hingga 2005. Watak Rambo Chin, Dee, Moon dan Sri Shan antara yang tak dapat dilupai.

2) 2+1
“Hello! My name is Sam. This is my card.” Siapa boleh lupa lakonan Imuda dalam sitkom ini! Ia menjadi ajukan ramai suatu masa dulu dan sitkom pecah perut yang amat diminati. Sitkom arahan dan ciptaan Othman Hafsham ini dibintangi Susan Lankester, Ziela Jalil, Louisa Chong, arwah Ahmad Busu, Jaafar Onn, Sabri Yunos. Ia juga mencapai 5 juta penonton ketika disiarkan di Tv3.

3) Kopitiam
Rancangan televisyen komedi Malaysia yang bersiaran di Ntv7 dari 1998 hingga 2003 dan diterbitkan sebanyak 7 musim. Barisan pelakon terdiri daripada Joanna Bessey, Lina Teoh, Douglas Lim, Rashid Salleh, Tan Jin Chor dan Mano Maniam. Siri ini menerima pengiktirafan di Anugerah Televisyen Asia; memenangi Sitkom Terbaik pada 1998 dan kemudiannya memenangi “Highly Commended for Best Comedy Program title” pada 2000. Kopitiam diarahkan oleh Ng Ping Ho dan diterbitkan oleh Double Vision.

4) Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Pi Mai Pi Mai Tang Tu merupakan sebuah sitkom yang pernah disiarkan di TV3. Sitkom ini merupakan idea daripada Hatta Azad Khan yang menceritakan mengenai kehidupan seharian penduduk di Flat Seri Wangi.
Kisah ini juga telah dipentaskan sebagai pementasan muzikal pada tahun 2006 serta dijadikan siri komik strip mingguan di dalam akhbar Berita Minggu. Sitkom ini menggunakan percakapan loghat utara dan menjadi ikutan ramai ketika itu.

5) Rumah Kedai
Salah satu siri tv yang disiarkan sebelah petang, tetapi masih mendapat tontonan ramai. Sitkom Rumah Kedai adalah drama bersiri komedi sebanyak 30 episod yang disiarkan khas pada setiap hari pada bulan Ramadan. Musim pertama rancangan ini disiarkan pada 1988 dan berterusan selama 6 musim pada tahun 1993. Ia mula disiarkan oleh saluran TV3 dan menurut majalah Tele-skop, “siri ini lebih bertemakan soal-soal moral, keagamaan, politik dan keluarga”. Drama ini berjaya mengangkat jenama pelawak Harun Salim Bachik dan Rosnah Mat Aris ke peringkat yang membanggakan dalam bidang seni lawak jenaka tanah air.