Honda pecat staf buat komen tidak sensitif berkaitan kematian anggota bomba

Honda pecat staf buat komen tidak sensitif berkaitan kematian anggota bomba

Kakitangannya itu langgar dasar syarikat, kata pengurusan Sri Utama Auto Sdn Bhd

PETALING JAYA: Sebuah syarikat pengedar kenderaan jenis Honda menamatkan khidmat kakitangannya berkuat kuasa serta-merta kerana memuat naik komen tidak sensitif dalam media sosial berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sri Utama Auto Sdn Bhd yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur, dalam kenyataannya hari ini, menegaskan, kakitangan berkenaan melanggar dasar syarikat dengan komen berkenaan.

“Kami ingin memaklumkan perkembangan bahawa siasatan dalaman sudah disiapkan dan kakitangan berkenaan didapati melanggar dasar syarikat dengan salah lakunya. Perkhidmatan kakitangan berkenaan yang berkhidmat di Sri Utama Auto Sdn Bhd ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas komen menyakitkan yang dilakukannya. Kami akan lebih prihatin dalam menjalankan latihan dan mendidik pekerja kami untuk menanamkan nilai moral tinggi dan menghormati setiap individu sepanjang masa,” kata Pengarah Sri Utama Auto Sdn Bhd, Wong Chee Keong.

Selasa lalu, syarikat berkenaan mengambil tindakan menggantung tugas seorang kakitangannya yang memuat naik kenyataan tidak sensitif di media sosial berhubung kematian Adib.

Wong dipercayai merujuk kepada catatan yang dimuat naik di Facebook dalam sebuah klip video Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media susulan kematian Adib.

Kakitangan wanita itu menulis: “Bukan kerajaan gagal…tuhan ‘you’ yang gagal tidak sembuhkan Adib.”

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke tempat kejadian, susulan protes penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, di mana beberapa kenderaan dibakar perusuh.

Pemuda berusia 24 tahun itu cedera parah selepas ditarik keluar dari kenderaan EMRS dan diserang sekumpulan perusuh di depan kuil.

Beliau meninggal dunia selepas 3 minggu dirawat di Institut Jantung Negara.

Jenazah Adib dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.