
“Kami menjangkakan aktiviti merentas pasaran susut minggu depan memandangkan pelabur enggan memasuki pasaran menjelang cuti Krismas,” kata penganalisis FXTM Research Lukman Otunuga.
Beliau berkata, ringgit juga akan banyak dipengaruhi prestasi dolar AS bagi minggu terakhir tahun ini.
“Ringgit dilihat meningkat jika dolar AS terus merosot susulan kebimbangan terhadap pertumbuhan serta prospek kenaikan kadar faedah lebih banyak tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, peniaga teknikal akan terus memantau prestasi dolar AS ke atas ringgit melepasi tahap 4.1700.
“Penurunan di bawah tahap ini mungkin menggalakkan pengukuhan ringgit ke arah 4.1620 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pasaran akan ditutup pada Selasa sempena Krismas.
Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS, dengan sentimen pasaran digerakkan oleh harga minyak dan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS mengenai kadar faedah dan kenaikan kadar pada masa depan.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, nota tempatan mengukuh kepada 4.1790 / 1830 daripada 4.1830/1880 berbanding dolar AS.
Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0490/0531 daripada 3.0393/0434 dan lemah berbanding pound British kepada 5.2919/2986 daripada 5.2635/2710.
Berbanding yen Jepun, ringgit turun kepada 3.7588/7634 daripada 3.6842/6895 dan rendah berbanding euro kepada 4.7758/7808 daripada 4.7239/7299.