Dalam bidang penjagaan kesihatan, terdapat insan-insan berhati besar, wira yang tidak didendang — memberi sokongan dan menenangkan pesakit di bawah jagaan mereka.

Salah seorang insan yang tidak pernah kenal erti jemu, lelah dan penat demi meningkatkan kualiti hidup pesakit adalah Dass Santhanam, beliau turut sama berjuang untuk hidup setelah didiagnosis dengan kanser prostat ibaratnya, selagi bernyawa, bakti akan tetap disemai.
Dass Santhanam adalah seorang yang sangat ramah dan cukup senang membuatkan orang cepat selesa dengannya. Bukan sahaja keramahan beliau menjadi penarik utama untuk kami lebih mengenalinya, malah beliau juga kaya dengan sumber dan jaringan dalam bidang penjagaan kesihatan, terutama hubungannya yang baik dengan doktor, pakar-pakar, penyedia penjagaan kesihatan dan para sukarelawan yang banyak menabur bakti dalam kalangan komuniti kanser yang terdiri daripada pesakit dan pejuang kanser.
Mesra disapa dengan panggilan Mr. Dass, beliau merupakan pesara di sebuah agensi antarabangsa dan turut memiliki pengalaman selama 12 tahun sebagai penjawat awam sebelum melakukan penghijrahan beliau ke agensi tersebut.
Memulakan temubual ini, Dass mengimbau kembali bagaimana hidupnya berubah kerana kanser.
Kerana Baucer, Kutemui Kanser
“Kawan baik saya datang melawat saya dan beliau memberi kepada saya sekeping baucer bagi menjalani ujian darah di sebuah makmal perubatan. Namun saya langsung tidak mengendahkan pemberian baucer oleh kawan saya dan letaknya di atas meja sahaja,” Dass memulakan kata-katanya kepada kami.
“2 minggu kemudian, kawan saya datang untuk bertemu saya lagi, tapi kali ini beliau sangat marah dan kecewa pada saya. Beliau memberi saya RM120 untuk saya menjalani ujian darah tersebut. Saya berasa seperti terhina dengan tindakannya itu. Maka, selepas didesak oleh kawan saya buat kali kedua, saya pun akur menurut kehendaknya.”
“Semasa di kaunter perkhidmatan makmal perubatan itu, gadis yang menjaga kaunter itu mencadangkan saya untuk menambah satu lagi ujian tambahan yang tidak termasuk dalam baucer diskaun yang diberi oleh kawan saya. Ujian itu adalah Ujian Antigen Spesifik Prostat atau PSA, di mana saya tidak tahu apakah objektifnya. Jadi, saya berkata pada diri, cuma tambah RM30 sahaja lagi, mengapa tidak? Keputusan ujian keluar dalam masa 10 hari.”

“Bacaan PSA saya adalah 77.5 tapi bacaan normal sepatutnya adalah di bawah 4. Keputusan ujian saya sangat membimbangkan sehingga kawan-kawan dan biras saya paksa saya untuk pergi mendapatkan rundingan daripada pakar kesihatan. Saya pun menjalani biopsi untuk mengambil sampel tisu daripada kelenjar prostat saya di HUKM dan kemudian dirujuk ke HKL bagi mendapatkan pandangan kedua. Diagnosis mengesahkan kehadiran tumor T2-3A, sah saya menghidap kanser prostat tahap 2.”
“Ketika saya diberitahu yang saya menghidap kanser, saya berasa seperti putus harapan, dan soalan pertama saya kepada doktor adalah, ‘Berapa lama lagi boleh hidup?’ Bagi saya, mendapat kanser seperti dijatuhi hukuman mati. Tapi doktor tertawa dengan soalan saya dan beliau memberikan kaunseling serta menasihati saya untuk menjalani beberapa jenis ujian lagi sebelum menentukan pilihan rawatan terbaik. Doktor juga memberi satu risalah berjudul “ABC of Prostate Cancer”, di mana saya rasa ia adalah sebuah bahan bacaan terbaik bagi memahami kanser prostat,” tambahnya lagi.
Ketika itu, pada usia 63 tahun, Dass merasakan yang dia sebenarnya adalah contoh ideal bagi mereka yang sudah memasuki usia emas tapi masih aktif, sihat dan bertenaga. Apatah lagi baru sahaja bersara dan sangat teruja untuk luangkan lebih banyak masa dengan anak-anak dan cucu. Sudah semestinya beliau tidak pernah membayangkan akan bergelut dengan kanser pada usia emasnya itu.
Rawatan Kanser bukannya ‘one size fits all’
Cabaran pertama dalam melawan kanser adalah untuk memilih rawatan yang sesuai untuk keadaan kansernya itu.
“Saya bernasib baik kerana menerusi keputusan ujian menunjukkan kanser belum merebak dan Gleason Score yang digunakan bagi memberi gred untuk menilai prognosis kanser prostat menunjukkan keadaan saya adalah pada 3+3, di mana kanser saya tidak begitu agresif. Seterusnya, saya dirujuk oleh pakar urologi saya kepada 2 pakar onkologi dan kedua-dua mereka mencadangkan pelan rawatan dan penjagaan yang sama.”
Setelah menjalani ujian MRI dan pengimbasan tulang (bagi memastikan kanser belum merebak ke tulang), Dass diberi 3 pilihan rawatan. Pertama, prostatektomi yang memerlukan pembedahan untuk membuang kelenjar prostat dan beberapa tisu sel di sekelilingnya. Kedua, ‘tunggu dan lihat’, di mana rawatan ini memerlukan doktor dan pesakit untuk membuat pemerhatian kepada perkembangan kanser sebelum intervensi perubatan dan terapi ditentukan. Ketiga, rawatan radiasi dan hormon. Rawatan ini memerlukan pesakit menjalani radioterapi yang menyerang tepat pada tumor serta rawatan hormon jangka pendek (dalam masa 2-3 tahun) bagi menghalang pertumbuhan tumor.
Memilih rawatan ketiga, Dass menjalani rawatan radiasi intensif dan rawatan hormon di sebuah pusat perubatan swasta. Keadaan kanser beliau dipantau dengan pemberian dos ubat bulanan iaitu goserelin acetate (3.6mg). Ini disusuli dengan suntikan hormon setiap 3 bulan. Dass mengalami tindakbalas yang sangat tidak selesa seperti badan menjadi bahang secara tiba-tiba, berpeluh, berat badan bertambah dan gangguan saluran kencing.
Namun begitu, Dass tetap sabar mengharungi kesan sampingan akibat rawatan dan akhirnya beliau berjaya menghentikan perkembangan kanser dalam tubuh beliau.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.