
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) menakluk Putrajaya Mei lepas, agenda memperbaiki keadaan negara yang rosak akibat pentadbiran terdahulu penting untuk diperjelaskan daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat kepimpinan tertinggi.
Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, pada perhimpunan agung tahun lepas mereka bersuara sebagai pembangkang, tetapi kini sebagai parti kerajaan, platform tersebut perlu digunakan sebaik-baiknya.
“Agenda Melayu Bumputera dan Islam pastinya turut dibangkitkan nanti kerana ia memang dekat dalam PPBM selain memberi keutamaan dan penekanan kepada isu sosial, ekonomi, pendidikan yang (Bumiputera) masih terbelakang.
“Jadi ini isu pokok untuk kita tangani dan pada masa sama, kita bangunkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya.
Katanya, dalam kerajaan baru sekarang, pimpinan PPBM perlu berfikiran terbuka dan menerima sebarang keluhan dan pandangan, bukan sahaja untuk parti tetapi untuk negara.
“Sekarang sudah jadi ‘government’, jangan takut untuk mendengar suara akar umbi. Dulu kita bercakap pasal 1MDB, kita ambil tindakan, jadi sekarang kita kena cakap benar dan buat keputusan biar semua pihak bercakap pasal kebenaran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pembahas yang mungkin baru pertama kali berada di pentas, supaya mengawal emosi dan jangan tersasar daripada topik sewaktu perbahasan.
“ (Perbahasan tertutup kerana) banyak sensitiviti . Tidak mahu pembahas tersasar kerana emosi di atas pentas,” katanya.
Dalam pada itu, Marzuki berkata, pihaknya juga sedang menambah baik proses pendaftaran anggota baru parti melalui sistem pendaftaran dalam talian dan juga menggunakan borang memandangkan jumlah anggota kini mencecah 200,000 orang.
“Sebelum pilihan raya umum ke-14 kita telah deregistered (dibatalkan pendaftaran). Jadi, banyak dokumen ahli tercicir dan kita tidak dapat bagi angka pasti mengenai jumlah keahlian,” katanya.
Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan agung 3 hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara.