Tiada lagi penceramah pro PH dihalang masuk tv, radio

Tiada lagi penceramah pro PH dihalang masuk tv, radio

Bawah kerajaan baru kebebasan berdakwah lebih terbuka, tidak kira perbezaan fahaman politik.

Mohd Fakhrulrazi Mokhtar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penceramah pro Pakatan Harapan (PH) khususnya daripada Amanah kini dibenarkan menyampaikan ceramah agama menerusi siaran televisyen dan radio.

Timbalan Pengarah Biro Dakwah Nasional Amanah, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata, sejak jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) kepimpinan kerajaan baru lebih terbuka dan tiada lagi sekatan dibuat, termasuklah dari pihak pembangkang untuk berceramah menerusi saluran televisyen dan radio.

“Kita tengok sekarang ruang untuk menyampaikan dakwah oleh mereka pro sesebuah parti politik termasuk dari Amanah lebih terbuka. Dulu kita tidak ada peluang langsung,” katanya kepada FMT.

Fakhrulrazi bagaimanapun berkata, masih ada segelintir agensi media bimbang menjemput penceramah daripada Amanah.

“Keadaan lebih terbuka, walaupun tidak sepenuhnya. Bagaimanapun, sekatan terus kepada penceramah pro PH dan Amanah tidak ada cuma kita faham pihak dalaman agensi penyiaran itu sendiri masih teragak-agak nak jemput kita,”katanya.

Katanya, selain beliau antara pemimpin Amanah yang dibenarkan berceramah di televisyen dan radio adalah Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Azrul Hakim Mohd Suradi.

Fakhrulrazi berkata, pendakwah pro pembangkang, termasuk Datuk Kazim Elias, Azhar Idrus, Ahmad Dusuki turut diberi kebenaran berdakwah.

“Kita tidak halang mana-mana pihak yang layak untuk berdakwah, tidak kira penyokong mana-mana parti, cuma mereka yang masuk tv dan radio ini kena lebih fokus kepada ilmu, bukan berpolitik.

Mana-mana pihak yang menyalahgunakan ruang yang diberi mungkin akan dihalang berceramah di tv dan radio bagi mengelak perpecahan,” katanya.

Katanya, pihak-pihak berkaitan perlu faham dakwah adalah memberi penerangan, bukan melakukan serangan.

Sekat pembangkang bukan arahan politik

Mengenai desas-desus penceramah pro parti pembangkang tidak digalakkan bersiaran, Fakhrulrazi percaya ia tiada kaitan dengan pimpinan Pakatan Harapan.

Katanya, halangan itu kemungkinan atas kehendak syarikat penyiaran atau pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan ceramah yang disampaikan.

“Pada pandangan saya, kalau ada ia mungkin berdasarkan aduan daripada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan cara penyampaian yang lari dari objektif asal dan menjurus kepada politik.

“Pemilihan penceramah dibuat sendiri pihak agensi penyiaran, bukan parti yang buat, tapi bagi pihak kerajaan kita akan maklum supaya penceramah tidak langgar peraturan yang ditetapkan, tidak kira daripada parti mana pun,” katanya.

Fakhrulrazi berkata, meskipun kerajaan tidak menyekat mana-mana penceramah menyampaikan dakwah di tv dan radio tanpa mengira fahaman politik, namun penceramah pro PH masih ada yang tidak dibenarkan berdakwah di masjid, khususnya di Selangor.

“Di tv kita boleh masuk tapi ada sesetengah masjid kami masih tidak boleh masuk, bukan kerajaan tidak bagi tetapi pihak jawatankuasa masjid-masjid menghalang wakil pihak kerajaan untuk masuk, khususnya di Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.