
Hanya tinggal beberapa hari lagi persekolahan sesi 2019 bermula, bagi ibu bapa muda dan pertama kali berdepan keadaan ini semestinya lebih teruja daripada anak sendiri, maklumlah anak sudah besar dan mahu melangkah ke alam persekolahan.
Segala persiapan seperti baju sekolah, alat tulis, beg dan buku-buku pasti sudah disediakan sejak awal, namun persediaan untuk minggu pertama sesi sekolah juga perlu diutamakan.
FMT Ohsem menyediakan beberapa tips untuk ibu bapa memudahkan urusan untuk melangkah di sekolah.
1) Labelkan nama pada setiap barangan milik anak
Perkara ini walaupun nampak mudah tetapi sangat penting, maklumlah anak berumur 7 tahun belum lagi mengenal barangan milik mereka. Mungkin ada rakan sekelas yang memiliki barang yang hampir serupa jadi apabila berlabel maka, ia memudahkan anak lebih mengenali barangnya.
2) Ajar anak kenali wang dan guna dompet
Perkara ini sangat penting kerana itu adalah situasi baru untuk anak, jika sebelum ini ke mana saja pergi ibu bapa yang uruskan setiap pembelian.
Mungkin seminggu sebelum masuk sekolah, ibu bapa digalakkan melatih anak sebagai persediaan anak membeli di kantin.
Ibu bapa juga boleh ajar anak guna wang dengan baik dan tunggu hingga wang baki dipulangkan.
Latih anak guna dompet untuk letak wang saku, penggunaan itu boleh elak wang tercicir dan jika dompet itu tercicir ia mudah diserahkan kepada guru kelas .
3) Bimbing anak di rumah

Di zaman serba moden, semestinya pada usia 7 tahun anak-anak sudah pandai mengenal huruf malah ada yang lebih bijak dan sudah bijak membaca suku kata tertentu. Pun begitu, tidak salah jika ibu bapa juga membuat ulangkaji sebelum melangkah ke dunia baru. Ajar anak dengan silibus sekolah agar mereka tidak terkejut dengan cara pembelajaran baru itu.
4) Ajar guna tandas
Walaupun perkara ini mudah tetapi ia menjadi tanggungjawab paling utama ibu bapa supaya anak lebih beradab di sekolah. Didiklah anak anda menggunakan tandas secara hemah dan pam selepas ‘selesai’ hajat di tandas.
Perkara ini akan menjadikan anak lebih bertanggungjawab dan menjadi rutin sehingga besar.
5) Duit kecemasan
Letakkan duit kecemasan di dalam beg sekolah anak, ia penting sebagai persediaan jika berlaku kecemasan. Misalnya untuk membeli buku nota atau tertinggal wang saku, namun ibu bapa perlu mengingatkan anak bahawa wang itu bukan untuk digunakan membeli sebarang barangan merapu.
6) Ajar anak susun jadual ikut harian

Ajar anak supaya bersistematik, untuk minggu pertama, ibu atau bapa boleh ‘duduk’ sekali dan susun bersama buku-buku ikut jadual.
Perkara ini bagi mengelak anak membawa semua buku sekolah dan beg sekolah menjadi berat atau terbeban.
Perkara ini jika diamalkan selama seminggu dan berterusan, memudahkan anak selain melatih mereka lebih berdisiplin dan mengurus masa dengan sempurna.
7) Pastikan anak menyimpan nombor telefon ibu dan bapa
Jarang sekali anak usia 7 tahun mengingati nombor-nombor penting termasuk nombor telefon ibu mereka sendiri.
Tulis nama penuh anak dan nombor telefon untuk dihubungi pada beg sekolah anak anda, ini kerana pada awal sesi persekolahan kanak-kanak cenderung meningggalkan beg sekolah merata-rata terutama di kawasan menunggu.
Nombor itu juga penting untuk pihak sekolah menghubungi ibu bapa jika berlaku kecemasan.
Semoga panduan di atas dapat membantu ibu bapa muda dan anak mereka melangkah ke alam persekolahan serta mempersiapkan mereka menempuh alam baru. Selamat mencuba!