Lelaki emel ahli parlimen minta halau lipas depan rumah

Lelaki emel ahli parlimen minta halau lipas depan rumah

Yam Keng terus membalas emel tersebut dan melihat kebimbangan lelaki itu sebagai satu isu yang perlu diberi perhatian.

Kalau anda terjumpa lipas di sekitar kawasan rumah, apa yang akan dilakukan? Segera dapatkan penyembur serangga atau pukul dan bunuh sahaja dengan apa-apa barangan yang terdapat di sekitar anda.

Tetapi seorang lelaki di Singapura pula mengarang emel meminta lipas yang ditemui di tangga dekat pintu rumahnya dihalau dan menghantar surat itu kepada ahli politik tempatan.

Setiausaha kanan ahli politik bagi Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Baey Yam Keng berkongsi paparan tersebut tanpa menamakan lelaki itu.

Paparan skrin emel itu turut disertai gambar lipas.

Begini bunyi emel tersebut:

“Kepada Yam Keng

Hari ini kira-kira 3.30 petang saya menelefon Pejabat Majlis Bandaraya untuk memaklumkan mengenai penemuan lipas di tangga yang dinyatakan di atas (alamat).

Pengendali bangunan meminta saya Whatsapp gambar kepada [nombor pegawai] dan dia akan mesej pegawai yang bertugas.

Pengendali bangunan berjanji untuk memaklumkan kepada pekerja agar membuang lipas, tetapi sehingga kini , pukul 5.15 petang, lipas masih ada. Bolehkah anda mendapatkan seseorang dengan serta-merta untuk membuang lipas ini? Saya juga mendapati majlis bandar anda sangat sukar untuk dihubungi.

Terima kasih.”

Menurut laporan Asia One, Yam Keng terus membalas emel tersebut dan melihat kebimbangan lelaki itu sebagai satu isu yang perlu diberi perhatian.

Yam Keng bukan sahaja berterima kasih kepada penghantar emel yang mengawasi lipas dan kemas kini mengenai keberadaannya malah menyedarkan pihaknya mengenai isu yang lebih besar tersirat dalam kandungan emel itu.

“Sama ada mengenai wujud serangan lipas di lokasi yang disebut atau talian majlis bandaraya perlu diperbaiki agar mesra pengguna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.