
M Visvanathan berkata, siasatan polis lebih menyeluruh untuk menentukan punca kematian Adib.
“Dalam siasatan polis, mereka boleh tahan suspek, ambil keterangan, rampas barang bukti, melawat lokasi jenayah dan ambil contoh DNA suspek,” katanya kepada FMT.
Adib meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas beliau didakwa diserang sekumpulan perusuh di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada awal pagi 27 November lalu.
Visvanathan yang mengetuai sebuah kumpulan dikenali sebagai Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), berkata polis perlu menunggu laporan bedah siasat Adib yang akan mendedahkan jika wujud sebarang perbuatan khianat.
“Laporan itu penting kerana ia akan mendedahkan kecederaan dialaminya, dan sama ada beliau diserang atau mati akibat kecederaan dalam pelanggaran.”
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, laporan penuh bedah siasat dijangka siap dalam sebulan kerana masa diperlukan jika ahli patologi berpendapat ujian darah perlu dilakukan.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan inkues akan diadakan untuk menentukan punca kematian Adib.

Visvanathan berkata, inkues tidak boleh diadakan kerana polis sudah mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan memulakan siasatan mereka.
“Inkues hanya diadakan untuk menentukan bagaimana, bila, di mana dan dalam keadaan apa kematian itu berlaku,” katanya sambil menambah semua persoalan ini sudah dijawab polis.
Beliau berkata, satu-satunya persoalan yang perlu dijawab ialah siapa yang melakukan kesalahan itu.
Katanya, inkues bukan tempat untuk menentukan jika individu tertentu bertanggungjawab terhadap kematian itu.
Visvanathan berkata, kes Adib akan menjadi duluan bagi keluarga lain menuntut inkues bagi kes bunuh yang tidak selesai.
Katanya, inkues diadakan untuk mencari fakta dan koroner akan mengisytiharkan seseorang itu “ada kaitan dari segi jenayah” dan polis perlu menjalankan siasatan lanjut.
“Pendakwa raya akan meneliti kertas siasatan untuk melihat jika ada individu yang boleh didakwa atas suatu kesalahan,” katanya sambil menambah beliau belum nampak pendakwaan sedemikian.