Dr Mahathir bersenam dalam pakaian formal, netizen puji

Dr Mahathir bersenam dalam pakaian formal, netizen puji

Mahathir pernah menyarankan pekerja tidak kira dari sektor kerajaan atau swasta untuk melakukan senaman ringkas selama 15 minit setiap hari.

Beberapa keping gambar menunjukkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan senaman ringkas di treadmill berpakaian kemeja dan seluar panjang dan berkasut sukan viral di laman sosial.

Gambar yang dimuat naik oleh pemilik Facebook dikenali Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin itu menunjukkan Mahathir meluangkan masa dalam aktiviti bersenam walaupun berpakaian seperti mahu ke pejabat.

Malah, pemilik mempersoal jika ‘perbuatan’ pemimpin nombor satu itu tandanya rindu untuk kembali ke pejabat sedangkan beliau kini sebenarnya bercuti.

Walaupun lokasi rakaman gambar tidak didedahkan, namun gambar yang dimuat naik dengan kapsyen, “Big Boss exercise pun nak pakai baju office…Rindu nak kerja la tu…hahaha…Almost one hour threadmill,” menerima pelbagai respon netizen.

Netizen rata-rata memuji tindakan tersebut kerana rajin melakukan senaman dan menyifatkan perbuatan itu tidak salah walaupun ‘baju yang dipakai salah’.

Sebelum ini, Mahathir menyarankan pekerja tidak kira dari sektor kerajaan atau swasta untuk melakukan senaman ringkas selama 15 minit setiap hari.

Langkah itu bagi memastikan pekerja dalam keadaan sihat dan cerdas selain mengamalkan gaya hidup sihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.