
Dr Geshina Ayu Mat Saat dari Universiti Sains Malaysia dan ahli psikologi klinikal Dr Chua Sook Ning memberitahu FMT bahawa mereka menyambut baik kenyataan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di Dewan Negara baru-baru ini bagi menjawab soalan Senator Asmak Husin.
Timbalan menteri tersebut, Hannah Yeoh bercakap tentang aktiviti berfaedah yang dilakukan pada sebelah malam seperti kelas tuisyen serta sesi keagamaan, dan berkata, ibu bapa dan pemimpin masyarakat bertanggungjawab menjauhkan kanak-kanak daripada aktiviti tidak sihat.
Asmak bertanya sama ada kerajaan akan menimbangkan perintah berkurung malam bagi mengurangkan kejadian jenayah yang dilakukan golongan remaja. Yeoh berkata, Putrajaya tidak bercadang melakukannya
Geshina berkata, tidak dapat dipastikan sama ada perintah berkurung sedemikian boleh mengurangkan kadar jenayah. Beliau berkata, jenayah, termasuk jenayah ganas, “tidak hanya berlaku pada sebelah malam dan golongan muda bukanlah satu-satunya pihak yang melakukannya”.
“Banyak kejadian jenayah, termasuk perbuatan ganas, berlaku pada siang hari dan di tepi-tepi jalan,” katanya, dengan menyebut keganasan rumah tangga, rogol, culik, aktiviti pengganas dan pengedaran dadah sebagai contoh.
Bagaimanapun katanya, beliau bersedia menyokong perintah berkurung dengan “garis panduan yang jelas” seperti menghendaki pemantauan ibu bapa ke atas anak remaja mereka.
“Saya cadangkan diadakan bancian umum bagi melihat pandangan orang ramai mengenai langkah itu,” katanya.
Chua berkata, perintah berkurung tidak akan mengatasi isu kenapa remaja terlibat dengan tingkah laku delinkuens itu sendiri.
“Keganasan remaja adalah simptom bagi masalah lebih besar yang perlu ditangani,” katanya. “Faktor berisiko seperti keluarga tidak kukuh atau hubungan ibu bapa-anak lemah, hubungan dengan rakan sebaya delinkuens dan tidak bersekolah.”
Chua dan Geshina bagaimanapun berkata, keganasan dalam kalangan remaja perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa.
Chua merujuk kepada statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menunjukkan 4,596 kes delinkuens juvenil dilaporkan pada 2015, sementara Geshina bercakap tentang peningkatan kejadian keganasan dalam kalangan remaja.
“Bagaimanapun, peningkatan bilangan kes ini mungkin disebabkan pertambahan jumlah laporan yang dibuat, perubahan undang-undang, peningkatan jumlah serta kepantasan hukuman dibuat, selain liputan media sosial lebih meluas,” kata Geshina, yang juga memiliki kelayakan dalam bidang kriminologi.
Memetik kajian yang mengaitkan delinkuens juvenil dengan persekitaran yang menyokong keganasan, beliau berkata, “tingkah laku menganiaya dan ganas biasanya dilihat dan dipelajari daripada individu dalam lingkungan terdekat.
“Apabila kanak-kanak menanggapi faedah daripada tingkah laku ganas, maka mereka akan membentuk dan melakukan lebih banyak tingkah laku ganas yang menjadi satu kebiasaan kepada mereka.
“Sejumlah kecil individu mempunyai kecenderungan psikopat dan ganas, tetapi persekitaran yang menyokong kecenderungan ini meningkatkan kemungkinan kanak-kanak ganas menjadi orang dewasa yang ganas.”
Beliau juga memetik kajian yang mendapati lebih awal penglibatan pertama seorang kanak-kanak dalam tingkah laku delinkuens, maka lebih lama tempoh seseorang itu akan terlibat dengan perbuatan jenayah atau tingkah laku tersebut.
Chua menyarankan strategi pencegahan yang holistik serta positif dari segi pendekatannya, berbanding pendekatan menghukum.
Beliau berkata, strategi itu termasuklah program keibubapaan, pembangunan kemahiran hidup dan sosial, program pencegahan buli dan pengurangan akses kepada bahan seperti alkohol dan dadah.