Ayam goreng 10 sen, konsep jariah Ibrahim

Ayam goreng 10 sen, konsep jariah Ibrahim

Walaupun harga itu terlalu murah dan tidak logik namun penjualan tersebut berkonsepkan amalan sedekah.

Walaupun ramai yang mengeluh kerana harga barangan semakin tinggi, ia tidak menghalang seorang pemuda dari Pulau Pinang untuk menawarkan menu harga murah di restoran miliknya.

Tidak salah jika dilabel sebagai paling murah dipasaran!

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ibrahim Abdul Rahim dari Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau, menjual seketul ayam goreng dan ikan dengan harga 10 sen.

Menurut pemilik kedai Baen Cafe The Power of Sedekah, walaupun harga itu terlalu murah dan tidak logik namun penjualan tersebut berkonsepkan amalan sedekah.

Malah semua air bergula tanpa susu seperti air teh, air anggur serta sirap juga diberikan percuma.

Lebih menarik, Ibrahim turut memberikan nasi tanpa lauk seperti nasi tomato dan beriyani secara percuma kepada pelanggan.

Pemuda berusia 36 tahun itu berkata, dia mula menjual makanan pada harga murah minggu lalu bermula dengan 40 ekor ikan cencaru dengan harga 10 sen seekor.

Melihat sambutan pelanggan yang menggalakkan dia mengambil keputusan untuk meneruskan jualan 10 sen untuk ‘hidangan’ terpilih di kedainya itu.

Beliau yang berniaga sejak 10 tahun menjelaskan, dia rasa terpanggil dengan jualan istimewa selepas menyedari harga barangan semakin mahal dan tindakan tersebut disifatkan sebagai sedekah kepada orang ramai.

FMT Ohsem melahirkan rasa kagum dengan keikhlasan pemuda itu. Semoga niat baik tersebut dijadikan contoh kepada peniaga-peniaga lain dalam membantu masyarakat hari ini yang semakin terbeban dengan keadaan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.