
Ella yang terkenal dengan gelaran ratu rock bakal mengadakan sebuah konsert yang istimewa dan berlainan dari genre biasa yang dibawa beliau pada bulan Mac akan datang.
Sebut sahaja nama Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, pengemar muzik sudah dapat menggambarkan sosok seorang wanita yang mengusung genre rock dengan bahasa badannya yang tidak ada pada penyanyi lain.
Namun, buat julung kalinya beliau akan menampilkan konsep akustik di Istana Budaya dan lagu asli yang semakin dilupakan oleh generasi muda sekarang.
“Genre asli dan rock sangat berbeza tetapi saya mahu generasi akan datang dengar dan segarkan ia kembali walaupun zaman sudah maju dan berubah.
“Saya akan memilih lagu-lagu sendiri pada ‘Malam Ella Unplugged KL’ dan cuba menyampaikannya dalam genre asli sebaik mungkin bagi menghargai karya ini,” katanya dalam temubual bersama FMT Ohsem .
Konsert ‘Ella Unplugged in KL” akan menampilkan hit seperti Pengemis Cinta, Rama-Rama, Standing In The Eyes Of The World, Simbiosis dan Sepi Sekuntum Mawar Merah yang akan dialunkan dalam bunyi akustik diiringi pemuzik terdiri daripada alumi dan pelajar tahun akhir Akademik Seni Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada pada 29,30, dan 31 Mac di Istana Budaya.
Tiket boleh dibeli bermula 2 Januari 2019 serendah RM159 hingga RM519 di Proticket atau laman sesawang www.proticket.com.my.
Ketika ditanya mengenai harapan beliau pada tahun depan, beliau berharap peminat akan datang menonton konsertnya beramai-ramai kerana sebahagian hasil yang diperolehi akan diberikan kepada Yayasan Autism Malaysia.
Sementara itu, beliau turut berkongsi perasaanya agar rakan seperjuangan Awie cepat sembuh dan sihat seperti biasa serta boleh melakukan rutin harian sama seperti dahulu.