Cuti sekolah berbaki sehari lagi, pastinya ibu bapa juga sibuk menyediakan kelengkapan ke sekolah sambil mencari solusi untuk menyusun buku terutama anak yang baru melangkah ke sekolah.

Ibu muda ini mungkin ada jawapan untuk anda.
Menerusi blog dialoguda.blogspot.com, beliau berkongsi tips mudah bagi memudahkan anak menyusun buku selain mengelak si kecil itu membawa semua buku ke sekolah.
Penggunaan fail ringan berwarna memudahkan anak kecil terutama tahap satu menyusun buku tanpa perlu pemantauan ibu bapa.
Selain itu, penggunaan fail itu akan menjimatkan masa kerana anak-anak hanya perlu keluarkan fail berkenaan dan tidak perlu habiskan masa mencari ‘barangan’ lain di dalam beg sekolah.
Menurutnya lagi, dengan penggunaan fail tersebut, ia memudahkan anak daripada tidak lagi tertukar buku atau ‘pening’ apabila memilih buku untuk ke sekolah.
Ikuti panduan mudah ini untuk melatih anak menyusun buku ikut jadual.
1) Cari fail yang ringan dan tidak tebal
Sediakan fail ringan untuk setiap subjek, isikan buku teks dan buku aktiviti di dalam fail berkenaan, contohnya jika ada 8 subjek, jadi sediakan 8 fail warna berbeza untuk penuhkan buku-buku berkenaan.
2) Isikan buku teks, buku aktiviti dan buku tulis di dalam fail berkenaan
Penggunaan fail berkenaan memudahkan pemilihan buku apabila diletakkan di dalam beg.
3) Labelkan fail berkenaan dengan nama subjek bagi mengelak anak tertukar dengan buku lain
Pelbagaikan fail mengikut warna supaya anak tidak keliru.
4) Letakkan jadual waktu
Dengan adanya fail-fail berkenaan mengikut subjek, anak-anak akan mematuhi jadual yang disediakan dan perlu bawa fail yang berkenaan mengikut hari.
5) Guna fail kalis air dan minyak
Penggunaan fail ringan mengurangkan risiko buku rosak kerana buku disimpan di dalam fail berkenaan. Malah sekiranya hujan buku-buku masih selamat .
6) Beg sekolah tidak ‘berselerak’
Penggunaan fail akan menjadikan fail kelihatan tersusun kerana semua ‘barangan’ untuk subjek berkenaan diletakkan khas dalam fail berkenaan.
Semoga tips yang diberikan ibu muda dalam blog berkenaan membantu anak-anak dan juga ibu bapa dalam meringankan ‘beban beg’ ke sekolah, selamat mencuba!