Jawatankuasa Perundingan MA63 Sarawak adakan mesyuarat pada Khamis

Jawatankuasa Perundingan MA63 Sarawak adakan mesyuarat pada Khamis

Menteri perdagangan antarabangsa dan e-dagang berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg.

Wong Soon Koh berkata, mesyuarat itu akan membincangkan cara mendapatkan semula hak Sarawak di bawah MA63. (Gambar Bernama)
SIBU:
Satu mesyuarat Jawatankuasa Perundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diadakan Khamis ini bagi membincangkan langkah mendapatkan kembali hak Sarawak di bawah MA63.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Openg.

“Pada 3 Januari 2019 nanti, ketua menteri akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan mengenai MA63 untuk membincangkan bagaimana kita boleh bekerja keras untuk mendapatkan semula hak-hak Sarawak,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ambang 2019 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di sini, malam tadi.

Selain menteri kerajaan Sarawak dan Adun dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), jawatankuasa yang ditubuhkan 6 November lalu itu turut dianggotai 2 wakil Pakatan Harapan (PH) Sarawak, iaitu See Chee How (Adun Batu Lintang) dan Irene Chang (Adun Bukit Assek).

Wong berkata, Sarawak sedar PH sebaik sahaja mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, berjanji akan mengembalikan hak Sarawak dan mengiktiraf Sarawak satu daripada komponen Persekutuan Malaysia.

Sehubungan itu katanya, Sarawak berharap kerajaan PH menunaikan janji mereka berhubung hak di bawah MA63.

Wong yang juga menteri kewangan ke-2 berkata, Sarawak turut menerima kesan daripada kemelesetan ekonomi ketika ini yang dijangka berlanjutan sehingga 2020.

“Sekarang industri perkayuan, pengeluaran produk perkayuan mencatatkan penurunan setiap tahun. Pada tahun-tahun sebelum ini, kutipan royalti sumber perkayuan sekitar RM800 juta.

“Tetapi, sekarang ia sudah berkurangan 50%, sekarang kita hanya boleh kutip kira-kira RM400 juta, malah kurang daripada itu.”

Turut mengharungi kesukaran akibat keadaan ekonomi itu ialah industri minyak sawit, pembuatan kapal serta perusahaan kecil dan sederhana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.