Bergilir solat Subuh ketika beratur daftar anak di SJKC

Bergilir solat Subuh ketika beratur daftar anak di SJKC

Ilyani dan suami terpaksa terpaksa ‘turun’ seawal 5 pagi untuk mengambil nombor dan beratur untuk proses daftar sekolah.

Sekolah aliran Cina menjadi pilihan ibu bapa bukan Cina masa kini kerana pendedahan anak dalam bahasa Mandarin selain belajar berdisiplin. (Gambar Bernama)

Kebelakangan ini ramai masyarakat Melayu mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina, bukan bermakna mahu membelakangkan sekolah kebangsaan tetapi mahu mendedahkan anak dengan penguasaan bahasa Mandarin yang lebih luas selain bahasa ibunda sendiri, Bahasa Melayu.

Bagi ibu muda, Ilyani Mohd. Noor, dia mahu menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sejak di peringkat universiti lagi dan ‘keinginan’ tersebut direstui suaminya yang merupakan bekas pelajar di sekolah aliran Cina.

Kini anak sulungnya, Ishaq Rosli berada di darjah tiga di SJKC Chung Hwa, Kota Bharu.

Malah anak keduanya, Ilyas Rosli turut didaftarkan di sekolah sama dengan abangnya, walaupun di peringkat tadika.

Ilyani berkata, 3 tahun menuntut ilmu di SJKC, dia melihat anaknya kini sangat berdisiplin selain fasih bercakap dalam bahasa Mandarin, bahasa kedua terpenting di dunia.

“Ini semua untuk ‘bekalan’ apabila besar nanti. Tidak perlu lagi mengambil kelas untuk tambah penguasaan Bahasa Mandarin selain mahu menjadikan anak seorang yang berdisiplin,” katanya ketika dihubungi FMT Ohsem, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Ilyani berkata ramai beranggapan ibu bapa yang menghantar anak sekolah jenis kebangsaan akan terpinggir dalam subjek Pendidikan Islam, namun ibu muda itu menafikannya. Ini kerana sekolah tersebut juga menawarkan subjek berkenaan.

Malah murid di sekolah berkenaan turut mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPPK) tanpa perlu ‘berpindah’ ke sekolah kebangsaan.

Berkongsi pengalaman mendaftar anak sulung ke sekolah berkenaan, dia berkata terpaksa ‘turun’ seawal 5 pagi semata-mata untuk mengambil nombor dan beratur mendaftar masuk memandangkan ramai mahu menghantar anak ke sekolah itu.

“Itu adalah kenangan manis kepada kami suami isteri yang terpaksa bangun lebih awal dan berada di sekolah awal pagi. Malah kami terpaksa bergilir untuk solat subuh sebelum mendaftar,” katanya sambil menyatakan lega kerana sekolah berkenaan mementingkan kualiti pembelajaran.

Setiap kelas di sekolah itu hanya dihadkan kepada 25 hingga 30 orang pelajar berbanding dengan sekolah biasa sehingga mencecah 45 orang dalam satu kelas.

Sementara itu, seorang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), Noraisah Zakariya yang belajar di SJKC Pui Teh, Jeram mengaku beruntung apabila ibu bapanya memilih untuk menghantarnya ke sekolah aliran tersebut.

“Kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin memberi ‘bonus’ kepada saya berbanding rakan sekuliah yang hanya boleh berbahasa Inggeris dan Melayu,” ujarnya.

Pelajar Sains Matematik itu berkata, jadual persekolahannya sangat ketat memandangkan dia ke sekolah pada waktu pagi dan pada waktu petang pula menghadiri kelas agama.

Namun, itu tidak mematahkan semangat kerana perkara itu adalah untuk kepentingan masa depan dan kini dia penat lelahnya berbaloi apabila mampu menguasai bahasa berkenaan.

Apapun, menghantar anak ke sekolah yang menggunakan bahasa teras asing bukanlah satu keputusan yang mudah. Ibu bapa dan anak terpaksa berusaha lebih keras.

Noraisah akui tidak pernah berasa kekok atau asing apabila berada di sekeliling rakan berbangsa Tiong Hua di sekolah aliran Cina.

Hasil perbualan FMT Ohsem dengan beberapa ibu bapa, kami mendapat pencerahan mengenai persoalan dan tips penting sebelum hantar anak ke sekolah aliran bahasa asing (bukan bahasa kebangsaan)

1) Mulakan dari tadika

Anak disaran diberi pendedahan sejak tadika supaya memudahkan transisi ke darjah 1 dan peringkat seterusnya.

2) Pendidikan Islam

Murid Islam akan mengikuti kelas Pendidikan Islam yang diajar oleh guru agama yang bertauliah.

3) UPPK

Murid Islam dibenarkan mengambil ujian berkenaan di sekolah tersebut tanpa perlu keluar ke sekolah lain.

4) Disiplin

Disiplin adalah keutamaan di SJKC, di mana tiada kelonggaran diberikan kepada ibu bapa dalam hal ini.

5) Makanan

Kantin di SJKC menyediakan makanan halal kepada murid.

6) Tempat bersolat dan kelas agama

Kemudahan untuk murid Islam termasuk kemudahan surau untuk bersolat turut disediakan di SJKC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.