
Setiap tahun sambutan ambang tahun baru menjadi satu penantian dan majlis disambut dengan penuh meriah termasuk percikan bunga api dan nyanyian lagu-lagu.
Namun, kemeriahan menyambut Tahun Baru di Sydney ‘tercalar’ apabila berlaku kesilapan paparan ayat Happy New Year 2018 pada salah satu gerbang batu di atas Jambatan Pelabuhan Sydney.
Kesilapan besar itu dikesan ketika lebih sejuta pengunjung menyaksikan pertunjukan lebih 100,000 bunga api di permukaan langit di atas jambatan berkenaan.
Sebilangan penonton mengesan kesilapan paparan ayat berkenaan sehingga menjadi bahan jenaka di dalam media sosial.
“Kita cuma ada satu tugas Australia!! Apa pun, selamat tahun baru,” kata seorang pengguna di laman web Reddit yang berkongsi gambar tersebut.
Sebahagian besar pengunjung tidak menyedari kesilapan itu disebabkan suasana bising dan kemeriahan ketika pertunjukkan bunga api paling besar dalam sejarah bandar ini berlangsung.
Bagaimanapun punca kesilapan pada paparan tersebut masih belum diketahui sehingga kini.
Gambar, rakaman video dan siaran langsung pertunjukan bunga api selama 12 minit itu memulakan siri sambutan Tahun Baru 2019 yang berakhir di bandar seperti Los Angeles, San Francisco dan Las Vegas, 19 jam selepas sambutan di Sydney.
Berbeza di Solo, Indonesia apabila pihak berkuasa tidak mengadakan perayaan untuk menyambut tahun baru tapi menetapkan program bebas kenderaan sepanjang ambang tahun baru menyebabkan bandar berkenaan sunyi deruan kenderaan.
Malah, pemimpin tempatan di daerah tersebut menetapkan tempat tertentu untuk majlis sambutan berkenaan dengan memukul gong, trompet dan juga sebagai tanda kedatangan tahun baru, keadaan ini sangat berbeza dengan sambutan yang biasa dilakukan di negara-negara maju.
Apapun, semoga kehadiran 2019 ini memberikan keseronokan selain membawa tuah kepada kita semua, belum terlambat FMT Ohsem mengucapkan selamat tahun baru.