Bukan salah Dr M kalau pengganti bermasalah, kata Kadir Jasin

Bukan salah Dr M kalau pengganti bermasalah, kata Kadir Jasin

Wartawan veteran Kadir Jasin mengingatkan orang yang lupa masa lampau akan mengulangi kesilapannya.

Kadir Jasin berkata Dr Mahathir membuat keputusan tentang pengganti atau bakal pengganti berpandukan kehendak dan keputusan parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Datuk A Kadir Jasin berkata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh dipersalahkan atas individu-individu bermasalah yang menggantinya atau bakal menggantinya.

Wartawan veteran itu berkata Dr Mahathir membuat keputusan tentang pengganti atau bakal pengganti berpandukan kehendak dan keputusan parti, seperti dalam kes Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah dan beberapa watak lain menentang Dr Mahathir dalam pemilihan presiden Umno 1987, dilantik ke Kabinet pada 1990 dan akhirnya menjadi perdana menteri ke-5 pada 2003.

“Beliau membawa Abdullah balik kerana dia memang jawatan naib presiden dalam pemilihan parti. Sebagai presiden Umno, katanya, beliau terpaksa menghormati kehendak ahli.

“Jadi yang salah bukanlah cara Dr Mahathir memilih pengganti atau bakal pengganti tetapi pengganti atau bakal pengganti itu sendiri menembak kaki mereka sendiri,” katanya di blog hari ini.

Bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press itu membahagikan catatannya kepada 2 tajuk kecil mengenai 2 individu yang pernah menjadi timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir, iaitu Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Musa terpilih kerana dilihat serius, demokratik dan intelektual, tetapi hubungan mula renggang “apabila Musa termakan nasihat para penasihat beliau yang separuh masak tetapi bercita-cita tinggi”.

“Musa cuba mengekalkan kedudukan sebagai timbalan presiden Umno dalam pemilihan 1987 dengan berpakat dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Tengku Razaleigh gagal rampas jawatan presiden daripada Dr Mahathir dan Musa hilang jawatan kepada Tun Abdul Ghafar Baba,” kata Kadir.

Mengenai Anwar, Kadir berkata bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia dan presiden PKR sekarang adalah “pilihan istimewa” Dr Mahathir.

Wartawan veteran ini berkata Dr Mahathir ketika itu menyifatkan Anwar “anak ayam baru tumbuh bulu pahat” tetapi sudah diterima rakyat jelata sehingga mampu mengalahkan pemimpin PAS, Yusof Rawa dalam pilihan raya umum 1982.

“Anwar naik mencacak. Dalam masa 11 tahun beliau naik daripada anak ayam berbulu pahat kepada timbalan perdana menteri dan bakal pengganti Dr Mahathir.

“Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan kita sering diingatkan melalui hujah ahli falsafah George Santayana bahawa orang yang lupa masa lampau akan mengulangi kesilapannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.