Mufti Perlis: 25 imam dipecat kerana faktor usia

Mufti Perlis: 25 imam dipecat kerana faktor usia

Mohd Asri Zainul Abidin menafikan imam terbabit diberhentikan kerana tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh seperti didakwa pihak tertentu.

Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ada imam berumur lewat 90-an, tetapi enggan melepaskan jawatan supaya orang lebih muda dapat menggantikan mereka.
KANGAR:
Pemberhentian imam lama di Perlis yang berumur lebih 60 tahun untuk digantikan imam baru bertujuan meremajakan masjid di seluruh negeri itu, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurutnya, ada imam berumur lewat 90-an, tetapi enggan melepaskan jawatan supaya orang lebih muda dapat menggantikan mereka.

Katanya, imam terbabit diberhentikan bukan kerana mereka tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh seperti didakwa pihak tertentu.

Asri membuat penjelasan itu dalam siri ceramah mingguannya di Masjid Alwi di sini, malam tadi sebagai reaksi terhadap isu hangat pemecatan dan pertukaran imam di negeri ini.

Sebuah portal dalam talian semalam melaporkan 25 imam dipecat dan lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan, melalui surat yang berkuat kuasa Selasa lalu.

Asri bagaimanapun tidak menyebut jumlah sebenar imam yang diberhentikan atau ditukarkan, tetapi berkata, tindakan itu diambil kerana ada di antara mereka tidak mampu membaca ayat-ayat al-Quran dalam solat dengan sempurna dan kemudian dikaitkan disiplin menjalankan tugas.

Katanya, ada juga imam tidak mematuhi kehendak tugas, termasuk tidak menghadiri kursus, tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan dan membawa penceramah luar dan menyentuh politik dalam ceramah mereka di masjid.

“Semua ini direkod pegawai jabatan. Kita tidak ambil tindakan sesuka hati,” katanya sambil meminta imam terbabit menerima hakikat mereka tidak semestinya bertugas hingga akhir hayat.

Asri berkata, ramai anak muda yang tamat pengajian tahfiz dan layak menjadi imam harus diberi peluang mengisi tempat imam yang diberhentikan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.