Putrajaya beri jaminan larangan merokok bukan kempen bermusim

Putrajaya beri jaminan larangan merokok bukan kempen bermusim

Menteri kesihatan berkata, sebanyak 5,746 premis diperiksa dan 2,500 notis amaran dikeluarkan setakat 2 hari pelaksanaan dasar baru itu.

Dzulkefly Ahmad berkata, larangan merokok itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat maju menjelang 2020. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan memberi jaminan larangan merokok di tempat makan bukan bersifat “hangat-hangat tahi ayam” atau bermusim seperti yang dibimbangi pengguna media sosial.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak 1 Januari itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat maju menjelang 2020.

“Agak terlalu awal untuk mengukur kejayaan penguatkuasaan ini, namun setakat ini kami mendapat maklum balas positif daripada masyarakat,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Promosi Tempat Makan sebagai Tempat Dilarang Merokok dan Pelancaran Program Restart (Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau) di sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kementerian juga sedia menerima sebarang maklum balas dan cadangan orang ramai bagi memastikan penguatkuasaan larangan merokok itu berjaya dilaksanakan.

“Kita juga akan mempertimbang cadangan ruangan khas untuk merokok sebagaimana yang dilaksanakan di Jepun, namun dalam masa 6 bulan ini, kementerian akan memfokuskan penguatkuasaan secara mendidik dengan memberi amaran kepada mereka yang ingkar.”

Beliau berkata, setakat 2 hari pelaksanaan, kementerian melakukan pemeriksaan di 5,746 premis dan mengeluarkan notis amaran sebanyak 2,500 selain mengedarkan 14,237 risalah kesihatan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kementeriannya akan turut memberi sokongan kepada usaha itu dari segi penguatkuasaan larangan berkenaan.

“Kempen larangan merokok ini hanya membabitkan 10% ruang yang ada dan perokok boleh memilih 90% lagi kawasan merokok yang lain…kita tidak akan menghalang hak untuk merokok,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.