
Bercakap kepada FMT beliau berkata, kerajaan Sabah sebaliknya lebih submisif, sekali gus menyuarakan kebimbangannya bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal berada di bawah telunjuk Putrajaya.
Zainnal memberi respons terhadap pendedahan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg bahawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bulan lepas, beliau menegaskan beberapa perkara yang tidak boleh runding, iaitu kuasa autonomi negeri berhubung imigresen; hak negeri menguatkuasakan undang-undang sendiri mengikut Perlembagaan Persekutuan; hak mempertahankan sempadan dan pemilikan ke atas semua sumber di daratan dan lautan, termasuk yang dijumpai di bawah tanah dan dasar lautan.
Shafie turut menghadiri mesyuarat pada 17 Dis itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Zainnal berkata, adalah mengecewakan apabila Shafie tidak membuat penegasan seperti yang dilakukan oleh Abang Johari.
“Dia hanya mampu memberitahu rakyat bahawa pelaksanaan M63 akan mengambil masa,” katanya. “Sabah dan Sarawak telah berharap dan menunggu selama 50 tahun. Berapa lama lagi kita harus berharap dan menunggu?
“Pendirian yang ditegaskan oleh Sarawak itu sepatutnya dikemukakan oleh Sabah juga. Sudah tiba masanya negeri Borneo menunjukkan pendirian dan suara yang sama.
“Dengan berdiam diri, kerajaan Sabah tampak bersekongkol dengan Putrajaya. Sabah tidak harus membenarkan ketua menterinya di kawal oleh Putrajaya. Ketua menteri mesti mempertahankan hak dan kekayaan Sabah. Beliau tidak harus menjadi ketua menteri bagi pihak Putrajaya.
Abang Johari mendedahkan perkara berkenaan dalam satu sidang media di Kuching Khamis lepas. Katanya, beliau mengandaikan Putrajaya menerima pendirian Sarawak mengenai perkara tidak boleh runding itu kerana tidak ada dalam kalangan anggota jawatankuasa terbabit membantah pembentangan yang dibuatnya.
Zainnal berkata, amat memalukan apabila wakil Sabah dalam mesyuarat itu tidak membuat persiapan sebaik yang dilakukan wakil Sarawak.
Jelaslah Sabah tidak mencapai apa-apa, tambahnya.
Beliau berkata, Sarawak juga berjaya mendapatkan hak untuk mengadakan perbincangan langsung dengan Petronas mengenai hasil petroleum dan mengenakan cukai jualannya sendiri.