Kalau anak asyik demam dan ia bukan disebabkan oleh faktor kronik seperti jangkitan virus, denggi dan sebagainya, anda boleh gunakan bahan-bahan dari dapur untuk bantu rawat anak.

Namun jika demam tersebut berlarutan atau anda mengesan sesuatu yang luar biasa, segeralah berjumpa doktor.

Di sini, FMT Ohsem menyenarai 7 jenis bahan dapur digunakan oleh orang tua untuk meredakan demam biasa. Petua ini bukan sahaja mudah tetapi murah, menelan belanja kurang RM10 sahaja.

Mari kita lihat barangan dan bagaimana ia digunakan untuk rawatan:

1) Asam Jawa

Asam jawa bukan sahaja digunakan ketika mencuci ikan bagi menghilangkan bau hanyir tetapi boleh mengurangkan panas dalam badan anak kecil.

Hanya rendam segenggam bahan itu ke dalam besen sebelum lumurkan di bahagian kepala anak yang demam.

2) Lidah buaya

Ambil lendiran daripada tumbuhan ini dan lumurkan di badan. Lendiran berkenaan dipercayai boleh mengurangkan suhu badan.

3) Telur ayam

Kaedah telur ayam ini dikatakan sangat popular dalam kalangan ‘orang tua’ secara tradisional. Ia dipercayai boleh ‘memindahkan’ panas badan kepada telur berkenaan. Anda hanya perlu merebus telur dan kupas kulit telur dengan hati-hati supaya tidak pecah. Balut telur menggunakan kain lampin atau tuala dan golekkan di seluruh badan, telur dipercayai ‘membuang’ panas di badan.

4) Bunga raya

Lendiran yang ada pada bunga kebangsaan ini juga dikatakan mampu mengurangkan demam si kecil. Tumbuk dan gumpalkan daun bunga raya sebelum dilumurkan di bahagian kepala.

5) Bawang putih atau hirisan bawang merah

Bakar bawang bersama dengan kulit kemudian ketukkan sedikit supaya bawang tersebut merekah dan oleskan bersama minyak bayi (baby oil) di bahagian dada, tapak kaki, pangkal hidung atau betis si kecil.

Bawang merah mempunyai sifat antiseptik dan berkesan meningkatkan tahap kesihatan. Ia juga boleh dihiris dan diletakkan di bahagian penjuru bilik. Cuma kena tahan baunya sahaja.

6) Halia

Rata-rata akan menolak jika diminta makan halia mentah, apatah lagi bagi kanak-kanak. Untuk si kecil, bolehlah diinovasi dengan meletakkan di dalam minuman atau masukkan hirisan ke dalam botol susu.

7) Air kelapa

Air kelapa terkenal kerana menyejukkan badan selain kebaikan kesihatan. Vitamin yang ada dalam air kelapa dipercayai boleh membasmi penyebab suhu badan meningkat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]