Kenal tanda kemurungan, elak masalah serius

Kenal tanda kemurungan, elak masalah serius

Jangan biar perasaan tertekan mengawal emosi dan tingkah laku anda, dapatkan bantuan sebelum terlambat.

Baru-baru ini viral video yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 10 tahun dipukul teruk oleh seorang wanita akibat kesalahan kecil.

Dalam video tersebut, ibu atau penjaga kanak-kanak berkenaan dilihat tidak rasional dan bertindak menarik rambut dan menghentak badan si anak itu sehingga terjatuh daripada kerusi.

Video berdurasi 40 saat itu tersebar luas itu dan dipercayai berlaku di China.

Perbuatan itu mendapat reaksi Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye yang menyifatkan perbuatan itu tidak berperikemanusiaan, malah binatang lebih prihatin dengan persekitaran dan menyanyangi anak sendiri.

“Walaupun bukan berlaku di negara sendiri tetapi ia teralu kejam tanpa sedikit perasaan kasih sayang dan perasaan kesian terhadap kanak-kanak.

“Mungkin ibu atau penjaga kanak-kanak berdepan masalah mental menyebabkan kanak-kanak tidak bersalah itu menjadi mangsa, ”katanya ketika dihubungi FMT Ohsem baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, program berkaitan kesihatan mental perlu diperluaskan di negara kita dalam usaha menangani isu-isu berkaitan kemurungan dan masalah mental.

FMT Ohsem yang memetik Daily Mail menyenaraikan beberapa tips untuk mengenal pasti individu yang berdepan kemurungan;

1) Kelihatan tidak tertekan

Lazim kita menganggap individu yang berdepan dengan kemurungan adalah mereka yang suka menyendiri dan kelihatan ‘berserabut’ dengan personaliti namun, realitinya penghidap kemurungan tidak semua berkelakuan sedemikian.

Setiap individu adalah unik dan berbeza ini termasuk simptom dan keupayaan menghadapi kemurungan, kebanyakan penghidap kemurungan tersembunyi zahirnya memaparkan normaliti bagi melindungi diri mereka dan langsung tidak kelihatan menderita.

2) Tidak bersemangat dan kerap menolak aktiviti yang digemari

Kurang berminat dalam melakukan aktiviti dalam tempoh masa yang panjang boleh menjadi tanda seseorang itu mengalami kemurungan.

Aktiviti yang pernah menjadi hobi atau kegemaran hilang dari jadual harian berikutan kurang rasa puas atau gagal fokus atas sebab kemurungan.

3) Terlalu ceria

Penyelidik dari Universiti Rochester Medical Centre mendapati individu yang berdepan kemurungan sukar dikenal pasti apabila berada dalam keadaan yang ceria.

Waspada dengan kenalan yang tiba-tiba berubah menjadi terlalu ceria kerana bimbang dia sebenarnya cuba menyembunyikan perasaan gelisah yang dialami.

4) Tidak mendapat tidur yang mencukupi

Sekiranya pasangan kita tidak mendapat tidur yang secukupnya atau terlebih tidur ini mungkin tanda awal menunjukkan sesuatu yang kurang baik berlaku.

Masalah tidur dan kemurungan selalunya berkait rapat. Individu yang berdepan kemurungan merasakan dunia sudah tidak selesa dan memilih tidur sebagai jalan keluar.

5) Kelihatan penat dan sentiasa mengadu cepat letih

Kesan sampingan kemurungan adalah cepat merasakan letih walaupun hanya melakukan kerja ringan.

Ini merupakan simptom yang sukar untuk disembunyikan kepada mereka yang telah didiagnos kemurungan tetapi cuba merahsiakan daripada rakan-rakan.

6) Sering negatif

Individu yang berdepan kemurungan seringkali mengeluarkan kata-kata negatif pada diri sendiri dan memiliki keyakinan diri rendah sehingga menimbulkan kebimbangan dan ketakutan.

7) Sedih berpanjangan

Sedih dan kecewa adalah lumrah, namun sekiranya berterusan sehingga berminggu dan mengganggu aktiviti harian, ia mungkin tanda awal kemurungan.

Pakar psikologi mendapati manusia mudah menjadi sedih apabila berdepan dengan kesusahan atau berdepan kehilangan orang tersayang. Namun, emosi yang di alami mereka yang berdepan kemurungan adalah berbeza. Manifestasi tingkah laku dan pemikiran mereka lebih dikawal emosi dan perubahan ini nampak paling ketara dalam perubahan tindakan yang diambil.

Sekiranya orang tersayang atau kenalan anda mempunyai simptom-simptom kemurungan, segera dapatkan nasihat professional.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.