Nilai duit: Cara mudah ajar anak menabung

Nilai duit: Cara mudah ajar anak menabung

Ajar anak untuk menghargai wang seawal usia 7 tahun supaya tabiat baik ini boleh menjadikan mereka seorang yang mempunyai disiplin kewangan bila dewasa.

Kajian menunjukkan bahawa ibu bapa adalah faktor utama yang mempengaruhi perilaku kewangan kanak-kanak sewaktu mereka kecil.

Anak perlu diajar kepentingan menyimpan wang supaya tidak boros.

Ajar mereka cara mudah menabung supaya tabiat baik ini boleh menjadikan anak seorang yang mempunyai disiplin kewangan apabila dewasa kelak.

FMT Osem kongsikan dengan anda 5 tip yang boleh digunakan untuk mengajar anak menyimpan wang:

1. Gunakan sampul

Kita boleh ajar anak menggunakan kaedah ini untuk anak-anak menyimpan duit. Ia akan buatkan mereka rasa seronok untuk menyimpan duit di dalam setiap sampul dengan keinginan masing-masing.

Anda buatlah beberapa sampul, satu untuk mainan, makanan dan simpanan. Jadikan ia sebagai 1 objektif mereka untuk menyimpan wang dan pembakar semangat menyimpan duit.

Jelaskan kepada mereka sesetengah keinginan mereka akan mengambil jangka masa pendek dan ada juga yang mengambil masa lama. Tidaklah mereka begitu berharap sangat.

Mereka akan faham bahawa setiap wang yang disimpan bukan datang dengan mudah dan mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya. Ia juga akan menanam sifat realistik dalam diri mereka sejak dari kecil lagi.

2. Ajar anak anda buat jadual matlamat simpanan

Apabila sudah jelas dengan matlamat simpanan anak-anak, kaji berapa lama mereka perlu simpan dan buat jadual khas untuk perkara ini.

Buat jadual berkotak dan gunakan pelekat bewarna, supaya mereka boleh kenal pasti berapa jangka masa yang perlu mereka simpan untuk mencapai matlamat tersebut.

3. Belikan tabung

Terdapat pelbagai jenis tabung yang dijual di pasaran. Jika boleh cari tabung yang lutsinar agar mereka boleh melihat sendiri hasil simpanan mereka yang semakin banyak.

Elakkan menukar duit tabungan mereka menjadi wang kertas nilai tinggi. Biarkan mereka menabung wang kertas dengan nilai kecil sehingga penuh. Ini akan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk menyimpan.

4. Ajar mereka berusaha untuk dapat wang

Anda boleh berikan upah kecil setiapkali anak membantu dengan kerja rumah.

Anda juga boleh mengajar mereka untuk berniaga secara kecil-kecilan, contohnya bawa mereka ke pasar lambak untuk menjual mainan terpakai mereka dan ia dapat melatih mereka mengira wang dan lebih sistematik dalam kehidupan apabila dewasa nanti.

5. Didik mereka belanja ikut kemampuan

Ajarlah anak-anak sejak dari kecil lagi untuk berbelanja mengikut kemampuan sendiri. Jangan berlagak kaya dan sentiasa merancang perbelanjaan walaupun ketika berada di sekolah. Didik mereka untuk tidak meminjam duit rakan jika tiada duit, tetapi hanya menggunakan wang saku dengan cermat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.