Shafie: Warisan mampu tadbir Sabah, PPBM perlu terus pegang janji

Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri diterajui Warisan mesra dengan Pakatan Harapan di Sabah, selain menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.

KOTA KINABALU: Warisan mahu PPBM terus berpegang kepada janji tidak melebarkan sayap ke Sabah seperti dipersetujui sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal ketika menegaskan pendirian itu berkata, Warisan mampu mengurus serta mentadbir Sabah, meskipun tanpa PPBM melebarkan sayap ke negeri itu.

“Saya telah menyatakan perkara itu, termasuk pendirian kami (Warisan mentadbir kerajaan Sabah dan PPBM tidak melebarkan sayap ke Sabah) sebelum pilihan raya.

“Pada PRU14, PPBM mendengar (pendirian) Warisan itu, dan sekarang selepas PRU14, saya berharap mereka akan terus mendengarkannya,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas anjuran parti itu, hari ini.

Shafie berkata, kerajaan negeri diterajui Warisan mesra dengan Pakatan Harapan di Sabah, dan perkara itu lebih penting, selain kerjasama serta hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.

Katanya, Warisan akan terus menyokong apa sahaja dilakukan kerajaan persekutuan dan bersama menyatupadukan rakyat.