Persatuan pemandu e-hailing minta JPJ jelaskan ‘larangan menunggu’

Persatuan pemandu e-hailing minta JPJ jelaskan ‘larangan menunggu’

Persatuan Pemandu e-Hailing Malaysia berkata larangan tersebut mengelirukan dan bercanggah dengan garis panduan sebelum ini.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta menjelaskan “larangan menunggu” di lapangan terbang yang dikenakan ke atas pemandu-pemandu e-hailing yang disebut dalam kenyataan baru-baru ini.

Persatuan Pemandu Perkhidmatan e-Hailing Malaysia (Mehda) berkata arahan tersebut sangat mengelirukan dan dilihat bercanggah dengan garis panduan perkhidmatan e-hailing yang dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Selepas saya baca sahaja kenyataan JPJ itu, saya terus hubungi pegawai atasan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) sendiri, beliau sahkan kepada saya boleh menunggu tapi jangan di tepi jalan untuk dapatkan pelanggan,” kata Presiden Daryl Chong kepada FMT.

JPJ dalam kenyataan mengumumkan setiap pemandu kenderaan e-hailing dilarang menunggu atau mencari penumpang di mana-mana tempat, termasuk lapangan terbang. Ia termaktub bawah syarat lesen pengendalian e-hailing yang ditetapkan Akta Pengangkutan Awam Darat, katanya.

JPJ berkata e-hailing dikehendaki syarat perkhidmatan e-hailing iaitu pemandu hendaklah mengambil penumpang yang dilanggan melalui perkhidmatan atas talian mudah alih atau aplikasi yang disediakan oleh syarikat pengendali sahaja.

Daryl bagaimanapun berkata larangan JPJ itu “tidak logik sama sekali” memandangkan ia bertentangan dengan modus operandi kenderaan e-hailing mengenai pengambilan pelanggan di lapangan terbang.

Katanya, setiap pemandu e-hailing perlu menunggu giliran di tapak yang disediakan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) bagi mengelak berlakunya kesesakan.

“Mustahil pemandu e-hailing boleh dapatkan pelanggan kalau tidak boleh menunggu. Maaflah saya cakap sebenarnya JPJ yang buat kacau dengan kenyataan ini,” katanya.

“JPJ tidak menyatakan maksud sebenar ‘menunggu’. Jadi bila dia cakap begitu, orang akan ambil kesempatan dan suruh tutup tapak menunggu itu.”

Menurut garis panduan SPAD, pemandu e-hailing boleh mengambil dan menurunkan penumpang di lapangan terbang di lokasi khas yang disediakan.

Semalam, Pengasas Big Blue Taxi Services Datuk Shamsubahrin Ismail menggesa MAHB menutup semua tapak disediakan kepada pemandu perkhidmatan e-hailing serta-merta.

Katanya tindakan itu perlu kerana selaras dengan penguatkuasaan yang ditetapkan JPJ itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.