Ibu bekerja pun boleh berehat, hanya ikuti 7 tips ini

Ibu bekerja pun boleh berehat, hanya ikuti 7 tips ini

Wanita bergelar ibu dan bekerja harus pandai mengatur masa untuk dirinya sendiri.

Sudahlah bekerja, di rumah sibuk kena jaga suami, anak dan ada kalanya orang tua. Bukan mudah tanggungjawab seorang wanita berkeluarga ini.

Bila jatuh sakit, tetap kena bangun dan buat kerja atau rumah jadi tunggang langgang.

Wahai ibu-ibu sekalian, jika anda bijak merancang tugasan untuk setiap ‘ahli keluarga’ maka anda juga boleh wujudkan masa untuk rehat.

FMT Ohsem senaraikan beberapa tips untuk para ibu bagi menjimatkan masa bekerja di rumah dan ‘mencuri’ sedikit waktu itu untuk berehat.

1. Utamakan masakan

Jika anda membeli barangan di pasar secara bulanan, apa kata anda kupas bahan-bahan asas seperti bawang putih, bawang merah, halia dan ikan bilis. Simpan rapi di dalam peti ais untuk kegunaan setiap hari. Anda juga boleh mengisar bawang dan cili kering dan simpan dalam peti sejuk beku.

Begitu juga dengan ikan, ayam, dan daging. Potong dan bersihkan sebaik selepas pulang dari pasar. Kalau nak lagi senang, masukkan ayam dan daging di dalam bekas ikut keperluan anda dan keluarga setiap hari.

2. Kemas rumah

Latih suami dan anak untuk mengemas katil sebaik bangun tidur. Jangan melonggok pinggan mangkuk sebaliknya terus bersihkan selepas guna. Mungkin anda boleh ‘kaw tim’ dengan suami bertukar giliran kemaskan meja makan dan dapur.

Pada hujung minggu lakukan kerja membersihkan rumah secara gotong-royong. Aktiviti mengemas rumah bersama ahli keluarga merapatkan silaturahim selain mendidik erti tanggungjawab.

3. Basuh baju

Basuh baju anda sekerap mungkin supaya tidak membebankan bila tiba masa melipatnya. Lebih mudah, setiap kali pulang dari kerja minta suami dan anak longgok baju untuk dibasuh dan dijemur pada malam tersebut. Kalau boleh, mintalah pertolongan suami jemurkan kain setiap malam.

4. Seterika baju

Elak gosok baju setiap hari sebelum pergi kerja. Gunakan petang pada hujung minggu untuk membuat tugas tersebut. Lebih baik buat sambil menonton filem kegemaran, rasa ringganlah sikit. Gosok untuk kegunaan seminggu, lebih mudah!

5. Cipta masa berkualiti dengan anak dan suami

Ambil masa berbual dengan keluarga pada waktu makan. Ajak anak dan suami menyediakan makan bersama dengan membahagikan tugasan di dapur.
Beri kepercayaan kepada anak untuk membantu agar ia dapat memudahkan tugas anda pada hujung minggu.

6. Bangun awal pagi

Bangun awal pagi untuk hari yang lebih produktif. Ia juga memudahkan anda menyiapkan semua kerja rumah dan selepas itu bolehlah berehat.

7. Sayangi diri sendiri

Wahai ibu, elak tekanan dan jangan terlalu terbeban dengan komitmen keluarga sehingga lupa menjalankan tanggungjawab terhadap diri sendiri. Sesibuk mana sekalipun, jaga kesihatan dan kecantikan diri sendiri. Ambil masa untuk bertenang dan dan beristirehat secukupnya.

Lakukan apa sahaja yang anda sukai dan minati sebelum kembali menjadi ‘superwoman’.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.