Sebut sahaja Semporna di Sabah, pasti ramai yang terkenangkan pantai yang indah, laut membiru, kepulauan yang menawarkan pengamalan menyelam yang terbaik.

Mungkin ada benda baru yang anda kena ingat selepas ini, buang sampah merata-rata dan ‘monyet’.

Ekoran keadaan persekitaran di sekitar Semporna yang semakin kotor dan penuh dengan sampah sarap, pihak berkuasa di Sabah, atas arahan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengambil pendekatan baru untuk ‘menghukum’ mereka yang membuang sampah merata-rata.

Hukuman tersebut dilihat satu percubaan yang baik dan unik bagi menghentikan tabiat ‘pengotor’ orang ramai.

Individu yang membuang sampah ini dikenakan hukuman denda RM500 atau khidmat komuniti di mana mereka perlu membersihkan kawasan tertentu dengan memakai jaket berlabel ‘monyet’.

Menurut papan tanda dan papan peringatan di sekitar kawasan itu, hanya monyet yang membuang sampah.

Jadi jika manusia bersikap seperti monyet, maka sesuailan mereka juga diberi label yang sama untuk memungut semula sampah.

Menurut laporan The Star, kempen tersebut berjaya ‘membersihkan’ beberapa kawasan apabila para pesalah memilih untuk membuat kerja khidmat kerana tidak mampu membayar denda RM500.

Beberapa orang warga asing tanpa dokumen sah juga berjaya dikesan dalam kempen ini.

Nampaknya, kempen seperti ini berbaloi dan patut diamalkan di semua tempat, khususnya pada waktu sambutan besar-besaran. Kalau Semporna boleh bersih dengan kempen ini, memang ‘thumbs-up’ lah!