Pos Malaysia bakal keluarkan setem Marvel sepanjang 2019

Pos Malaysia bakal keluarkan setem Marvel sepanjang 2019

Pos Malaysia juga akan mengeluarkan koleksi Mickey Mouse 2.0 pada tahun ini.

Peminat watak adiwira daripada komik dan filem terkenal di Malaysia kini boleh menambah koleksi mereka menerusi setem khas yang bakal dikeluarkan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) sepanjang 2019 ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata antara koleksi setem yang bakal dikeluarkan ialah daripada siri komik Marvel, Batman dan Star Wars.

“Koleksi setem istimewa ini dijangka berada di pasaran pada April memandangkan masih ada beberapa perbincangan sedang dilakukan, terutama pemilihan karakter daripada siri Marvel yang akan dipaparkan pada setem,” katanya kepada Bernama.

Diyana Lean berkata, pemilihan watak berkenaan itu adalah lanjutan kejayaan penjualan kesemua 5,000 set folder khas Disney bersempena ulang tahun ke-90 Mickey Mouse pada 9 Nov lalu dalam tempoh seminggu.

“Bagi keluaran siri Marvel, kita rancang akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 3 siri dengan memaparkan karakter terbaik memandangkan siri Marvel mempunyai begitu banyak figura adiwira yang di minati ramai seperti Iron Man, Captain America, Spiderman, Hulk serta X-Men,” katanya.

Beliau berkata Pos Malaysia juga akan mengeluarkan koleksi Mickey Mouse 2.0 pada tahun ini.

Diyana Lean berkata beliau yakin pengeluaran setem paparan adiwira daripada komik itu akan menarik lebih ramai golongan muda untuk mengumpul setem.

Sementara itu, Diyana Lean berkata Pos Malaysia berjaya menjual 80 hingga 90% setem keluaran khas sepanjang 2018.

“Tahun lalu, kita dapat mengeluarkan sehingga 20 keluaran khas termasuk paparan (Perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad), pertabalan Sultan Kedah dan ulang tahun Mickey Mouse. Secara purata, sebanyak 600,000 keping setem berjaya dijual manakala lembaran mini terjual sehingga 25,000 keping bagi setiap keluaran.

“Ini petanda positif memandangkan terdapat beberapa keluaran setem adalah cetakan terkawal iaitu jumlah cetakan setem bergantung kepada jenis paparan. Lebih menarik, ada keluaran yang habis dijual dalam tempoh seminggu kerana paparan yang dikeluarkan sangat unik dan terhad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.