Jamal gagal selesai saman difail pemimpin DAP

Jamal Yunos gagal mendapat kata sepakat dengan Yeo Bee Yin dan Teresa Kok. 

KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos hari ini gagal menyelesaikan kes saman yang dikemukan terhadapnya oleh 2 pemimpin DAP.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dan Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim menyaman ketua Umno bahagian Sungai Besar itu pada 2017 kerana didakwa menuduh mereka menyalah guna tabung kebajikan di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Peguam mereka, Sankara Nair berkata tiada penyelesaian dicapai antara kedua mereka dengan Jamal.

“Kami memberitahu kedua-dua hakim berhubung status kes tersebut hari ini dan mereka akan dibicarakan sepenuhnya pada April depan,” katanya.

Saman Yeo diakan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad pada 26 April, sementara saman Kok akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache pada 29 dan 30 April ini.

Yeo dan Jamal berjumpa bulan lepas untuk berunding berhubung saman tersebut tetapi tidak mencapai kata sepakat.

Yeo berkata Jamal menggambarkan beliau sebagai seorang yang menyalahgunakan dana kerajaan dan tidak layak memegang jawatan dalam parti serta pembohong dan tidak amanah.

Yeo menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan sebanyak RM5 juta.

Kok pula mendakwa kenyataan Jamal merosakkan reputasinya sebagai ahli politik kanan dalam DAP dan menggambarkan beliau sebagai seorang perasuah.

“Tuduhan Jamal tidak berasas memandangkan saya tidak menyalah guna kuasa untuk mendapatkan dana daripada Yawas,” kata Kok dalam kenyataan tuntutannya.

Beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta injunksi terhadap Jamal daripada menyiarkan lagi kenyataan memalukan.

Pada 2017, Jamal mendakwa ahli politik dari Kuala Lumpur dan Selangor itu mengambil dana untuk kebajikan daripada Yawas, bukan mengagihkannya kepada penerima yang layak.