Putrajaya pertimbang akta lebih ketat lindungi raja daripada kritikan

Putrajaya pertimbang akta lebih ketat lindungi raja daripada kritikan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, langkah itu untuk mengelakkan rakyat mengkritik Agong dan sultan.

PUTRAJAYA: Kabinet mungkin memperkenalkan undang-undang lebih ketat untuk melindungi raja daripada kritikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong susulan penahanan beberapa individu yang didakwa membuat kenyataan berunsur hinaan terhadap sultan.

“Ia penting (untuk melakukannya). Kami tidak mahu rakyat mengkritik Agong dan sultan.

“Jika Kabinet setuju meminda undang-undang, kami akan teruskan,” katanya selepas menghadiri sebuah acara di Putrajaya, hari ini.

Langkah itu menyusul keputusan Sultan Muhammad V melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Ahad lalu, susulan spekulasi di media sosial berhubung Sultan Kelantan itu.

Semalam, polis mengesahkan 3 individu ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, susulan laporan yang diterima berhubung komen mereka di media sosial.

Liew berkata, Kementerian Dalam Negeri bersetuju mengekalkan undang-undang itu dan beliau akan menemui wakil kementerian untuk mendengar pandangan mereka berhubung perkara berkenaan.

“Kementerian ada dasar sendiri. Saya tidak boleh pergi dan kata saya mahu ini atau itu,” katanya menjawab soalan sama ada beliau akan meminta akta itu dimansuhkan.

Pada 2 Disember lalu, Putrajaya menarik balik moratorium ke atas Akta Hasutan yang dalam kajian pemansuhan, supaya ia boleh digunakan ke atas mereka yang mengugat keselamatan dan ketenteraman negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Kabinet turut menarik balik moratorium ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

Sementara itu, Liew berkata, kerajaan setuju membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) di Dewan Rakyat tahun ini.

“Tetapi, ada cadangan daripada polis yang ia mungkin bercanggah dengan hak berperlembagaan mereka.”

Katanya, kerajaan akan mengkaji perkara itu dan berdasarkan pemahamannya, IPCMC akan menangani aduan terhadap pegawai polis tertentu, manakala perlembagaan berkaitan promosi dan tugas polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.