Siapa dari SK Convent Kota, Taiping? Sekolah anda bakal jadi tapak warisan

Siapa dari SK Convent Kota, Taiping? Sekolah anda bakal jadi tapak warisan

Sebarang projek pembangunan dalam jarak sejauh 200 meter dari kawasan tapak warisan adalah dikawal.

Empat lokasi unik di bandar warisan di Taiping bakal diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan tidak lama lagi, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Datuk Abdul Rahim Md Ariff.

Beliau berkata tempat bersejarah itu ialah bangunan Stesen Keretapi Taiping, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Kota, Bangunan Sanitary Board dan Hutan Paya Laut, Matang yang sedang dalam proses untuk mendapat pengiktirafan dari pada Jabatan Warisan Negara.

Katanya, pada Oktober 2018, Taman Tasik Taiping dan Bangunan Telegraf di bandar itu diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan mengikut Akta 645 Akta Warisan Kebangsaan manakala Kota Ngah Ibrahim, Matang pula diwartakan pada Mac tahun lepas.

“Dengan pewartaan Taman Tasik ini, sebarang projek pembangunan dalam jarak sejauh 200 meter dari kawasan itu adalah dikawal. Projek pembangunan yang mahu dimajukan hendaklah mendapat kelulusan dari Jabatan Warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian papan tanda ‘I Love Taiping’ oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pokok Assam Leow Thye Yih di Lake Front, Taman Tasik Taiping.

Abdul Rahim berkata sebelum ini, Perpustakaan Awam Taiping, Sekolah Menengah (SM) King Edward VII, Masjid Melayu, Gereja All Saints, Muzium Perak, Penjara Taiping serta Pejabat Daerah dan Tanah Taiping telah pun mendapat pengiktirafan tersebut.

Mengenai Taman Tasik Taiping, beliau berkata taman yang merupakan bekas lombong bijih timah seluas 64 hektar dan berusia 135 tahun itu antara beberapa taman yang terindah di negara ini malah dilawati lebih 1 juta pelancong setiap tahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.